Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kes Najib saman bekas pengurus: 'Pelaku jenayah saman saksi' - Peguam

Najib Razak tahu akaun banknya dimanipulasi pada 2016 tetapi tindakan sivil hanya dibuat lepas Joanna Yu Ging Ping memberi keterangan dalam kes SRC, kata peguam yang mewakili Yu.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu Najib Razak telah mengetahui akaun banknya dimanipulasi pada 2016 tetapi tindakan sivil diambil oleh bekas perdana menteri itu terhadap Ambank dan bekas pengurus perhubungannya, Joanna Yu Ging Ping selepas pegawai itu memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Yu, berkata Najib hanya bergantung kepada keterangan anak guamnya untuk memfailkan tindakan sivil selepas pegawai bank itu menjadi saksi pendakwaan pada 22 Julai tahun lalu.

“Mereka (peguam Najib) berkata saman sivil itu bebas dan tidak ada kaitan dengan SRC International. Mereka sudah tahu mengenai manipulasi pada tahun 2016. Sekiranya demikian, mereka akan melakukannya pada 2016.

”Tetapi menunggu untuk perbicaraan SRC International untuk mengambil tindakan. Mereka memfailkan saman beberapa bulan selepas anak guam saya memberi keterangan,”katanya semasa berhujah untuk membatalkan saman yang difailkan Najib terhadap AmBank, AMMB Holdings Berhad dan Yu.

Gurdial berkata Najib dan pasukan pembelaannya cuba berusaha bersungguh-sungguh dalam perbicaraan kes SRC tetapi pastinya mereka tidak berjaya.

”Di sini mereka saman saksi (Yu). Seorang pelaku jenayah saman saksi jenayah,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah perlu melindungi saksi daripada gangguan secara langsung dan tidak langsung.

Sementara itu, peguam Najib, Harvinderjit Singh berkata bahawa satu-satunya alasan saman difailkan sekarang adalah kerana anak guamnya mendapat tahu pelanggaran tugas bank semasa perbicaraan SRC International.

“Hakikatnya, ia memerlukan satu perbicaraan untuk kami mengetahuinya. Plaintif (Najib) mempunyai hak untuk meneliti perbuatan defendan (Yu),

“Namun semua dakwaan ini memerlukan bukti,” katanya.

Peguam Benjamin Dawson, yang mewakili AmBank dan AMMB Holdings, berkata Najib mengambil tindakan itu untuk tujuan kolateral bagi menutup ruang bukti dalam pembelaan SRC.

Hakim Datuk Khadijah Idris kemudian menetapkan 28 Sept ini untuk keputusan.

Najib dakwa AmBank, Yu cuai

Ahli Parlimen Pekan itu melalui Tetuan Shafee & Co telah memfailkan saman tersebut pada 9 Dis tahun lalu dan menamakan AmBank, AMMB Holdings serta Yu sebagai defendan.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib mendakwa defendan tanpa kebenaran telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Jho Low sebagai pihak ketiga.

Beliau mendakwa bahawa defendan tidak berhubung dengannya untuk melaporkan tindakan Jho Low mengenai akaun bank tersebut dan bank itu telah memudahkan pihak ketiga yang tidak sah untuk membuat pemindahan wang antara akaun 880, 898 dan 906.

Najib mendakwa bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai butiran penyata akaun banknya sendiri dan dokumen atau berkaitan lain oleh pihak bank di bawah arahan Jho Low.

Najib mendakwa Jho Low dengan bantuan pihak ketiga yang tidak dibenarkan, telah membuat 20 urus niaga untuk menguruskan akaun-akaun berjumlah RM12 juta melalui beberapa kiriman wang tempatan dan asing dan akaun tersebut telah 'ditandakan merah' oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Dia berkata defendan gagal melaporkan dan mendapatkan arahan langsung daripadanya, walaupun akaunnya ditandakan merah sebagai amaran dan berpotensi bermasalah.

Najib juga mendakwa bahawa beliau hanya mengetahui perbuatan yang dilakukan oleh defendan semasa perbicaraan SRC, selepas pendakwaan mendedahkan perbualan antara Yu dan pihak ketiga.

Beliau memohon ganti rugi khas, umum, teruk dan teladan daripada defendan.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kes jenayah membabitkan dana SRC International.

- Bernama