Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sekolah catat kes positif Covid-19 di Kulim sudah ditutup

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata sebuah sekolah di Kulim yang mencatatkan kes positif Covid-19 dari kluster Tawar kini ditutup.

Ketua pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ujian saringan juga sudah dijalankan ke atas murid-murid dan semua guru di sekolah terbabit.

Dia berkata demikian selepas ditanya mengenai kewajaran sekolah tersebut - yang menyaksikan seorang guru dan tiga pelajarnya dijangkiti Covid-19 - ditutup.

“Kita dah tutup sekolah tersebut dan buat ujian saringan dan sanitasi (sekolah),” katanya pada sidang media mingguan mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, tiada maklumat jelas berkenaan tarikh penutupan sekolah terbabit dan jumlah murid serta guru yang disaring.

Kenyataan itu berbeza daripada maklumat diperolehi Malaysiakini daripada pegawai Kementerian Pendidikan sebelumnya.

Kata pegawai terbabit mereka sedang menunggu arahan lanjut daripada KKM.

"Untuk penutupan sekolah-sekolah, itu di bawah nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Generasi ketiga jangkitan

Malaysiakini sudah menghubungi Kementerian Pendidikan untuk mendapatkan penjelasan.

Menurut maklumat dikeluarkan KKM semalam, terdapat empat kes baru di Kulim, Kedah yang melibatkan seorang guru dan tiga rakan sekelasnya.

Berdasarkan carta yang dikeluarkan KKM semalam, ada empat kes baru direkodkan di Kulim membabitkan seorang guru dan tiga pelajar (kes 9,204 hingga 9,207) yang dikesan positif pada 17 Ogos.

Tiga pelajar terbabit adalah rakan sekelas dua bersaudara (kes 9,615 dan 9,163) yang diuji positif pada 15 Ogos lalu. Seorang daripada pelajar terbabit adalah anak murid kepada guru yang positif Covid-19 itu.

Adik beradik dan seorang pelajar itu berusia 13 tahun manakala seorang lagi baru lapan tahun. Semua mereka menetap di Kampung Padang Meiha, Kedah.

Kes tersebut adalah dari kluster Tawar yang kini mencapai generasi ketiga jangkitan. Kluster itu dikaitkan dengan upacara pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

Noor Hisham berkata KKM berharap pihaknya dapat melakukan pembasmian kuman di sekolah terbabit dalam masa terdekat.

“KKM sudah melakukan intervensi positif terhadap sekolah tersebut dan berharap dalam seminggu dua kita dapat (melaksanakan) pembasmian kuman (di sekolah tersebut),” katanya lagi.