Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Tujuh kes baru, penularan akibat ketidakpatuhan SOP

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan tujuh lagi kes baru jangkitan Covid-19 direkodkan setakat tengah hari tadi. Daripada jumlah itu,  tiga adalah kes penularan dalam negara dan empat lagi kes import.

Butiran kes penularan tempatan yang melibatkan warganegara Malaysia dicatatkan di Kedah adalah seperti berikut:

  • Kluster Sala - dua kes.
  • Kuster Tawar - satu kes.

“Penularan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan di kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhiProsedur Operasi Standard (SOP).

“Misalnya, kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat di antara satu sama lain," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu membantu penularan yang meluas dalam Kluster Tawar meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan.

“Bagi Kluster Sala pula, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga beliau.

"Walaupun tiada kes positif Covid-19 yang dikesan daripada saringan di hospital tersebut, namun begitu kesemua ahli keluarga yang telah pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit tersebut telah dikesan positif,” katanya.


Dr Noor Hisham berkata jangkitan wabak itu seterusnya telah merebak kepada kontak-kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga.

“Dikhuatiri amalan melawat hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan,” katanya.

Bagi empat kes import tersebut pula, butirannya adalah:

  • Bangladesh - tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • United Kingdom - satu kes juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dengan tambahan tujuh kes itu, Dr Noor Hisham, berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah sebanyak 192 kes dan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 9219 kes.

Dia juga mengumumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan sebanyak 26 kes telah pulih.

Walau bagaimanapun, dia berkata, lapan pesakit sedang dirawai di ICU, dengan dua daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.