Wong: PAC kini lumpuh, mungkin tiada prosiding hingga Nov
Tiga laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak dapat dibentangkan di Dewan Rakyat ekoran kegagalan kerajaan membuat pelantikan pengerusi serta penstrukturan semula badan itu.
Anggota PAC, Wong Kah Woh, berkata ketika ini jawatankuasa terbabit dianggap lumpuh dan dijangka tidak dapat berfungsi sehingga Nov depan.
Kata Wong sejak 9 Mac lalu tiada sebarang prosiding PAC diadakan dan tiada seorang pun saksi dipanggil badan tersebut.
"Sehingga 18 Ogos, jawatankuasa hanya sempat bermesyuarat sebanyak sembilan kali, berbanding tahun lepas kita dapat bermesyuarat sekurang-kurangnya 60 kali setahun.
"Keseluruhan fungsi PAC dilumpuhkan kerajaan akibat kelewatan penstrukturan semula anggotanya.
"Sudah ada tiga laporan PAC sedia untuk dibentangkan pada sidang ini manakala tiga lagi laporan belum dimuktamadkan.
"Pada permulaan sidang kali ini Julai lalu, laporan ketua audit negara dibentangkan dan kes-kes di dalam laporan ini akan disiasat PAC tapi kita tak dapat adakan prosiding," katanya.
Anggota parlimen Ipoh Timur itu berkata demikian semasa mengadakan sidang media di bangunan parlimen hari ini.
Minggu depan sidang berakhir
Semasa kerajaan Pakatan Harapan(PH), gabungan itu membuat perubahan apabila melantik ahli parlimen pembangkang, Noraini Ahmad, untuk mengetuai PAC.
Sebelum itu semasa zaman BN, di sebalik beberapa anggota parlimen pembangkang menganggotai PAC, ia masih diketuai wakil kerajaan.
Ekoran jatuhnya PH dan munculnya Perikatan Nasional (PN), Noraini di lantik sebagai menteri pengajian tinggi dan ahli parlimen Parit Sulong itu melepaskan jawatannya sebagai pengerusi PAC pada 10 Mac.
Peletakan jawatan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77 (4) yang menyebut bahawa ".Seseorang ahli majlis tidak boleh diangkat atau dilantik memegang atau memangku jawatan pengerusi atau menjadi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara semasa beliau menjadi seorang menteri."
Tidak hanya Noraini, empat ahli parlimen lain turut diberikan jawatan dalam kerajaan PN, sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri.
Kata Wong, sidang parlimen sesi ini akan berakhir minggu hadapan dan masa semakin suntuk untuk melihat PAC bersidang untuk menjadi mekanisme semak dan imbang kerajaan.
Justeru dia berharap isu berkenaan mendapat perhatian segera daripada kerajaan.
"Satu prosiding, seorang saksi pun kita tak boleh panggil, minggu hadapan minggu terakhir untuk sidang kali ini.
"Kalau tidak PAC kena tunggu sidang pada Nov, kami nak bekerja tapi kami tak boleh kerja," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai