Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Redzuan akui Pejuang akan beri kesan pada Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Yusof tidak menafikan parti Pejuang pimpinan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan memberi kesan kepada partinya.

Bagaimanapun menteri tugas-tugas khas itu yakin suatu masa nanti Pejuang  akan bersama mereka dalam satu gabungan yang besar.

"Ada impak, tak boleh nafi. Tapi sebagai orang yang mengasas dan memperkasakan Bersatu untuk memberi jalan untuk mereka bersama mereka matlamat yang sama tapi jalan yang berbeza.

"Jalan berbeza dengan adanya Muafakat (Nasional), Pejuang mungkin tak mahu langsung, kita mahu dekat dengan penyokong dan fahamkan mereka," katanya.

Mahathir yang juga bekas pengerusi Bersatu akan menubuhkan parti baru bersama beberapa bekas wakil rakyat parti itu yang disingkirkan daripada Bersatu.

Pada 12 Ogos lalu, Mahathir mengumumkan parti barunya akan dikenali sebagai "Pejuang" dengan nama penuhnya Parti Pejuang Tanah Air.

"Saya tak minat parti baru. Bukan untuk memecah orang Melayu lagi, tetapi untuk memberi tempat kepada orang Melayu supaya mereka dapat memilih sebuah parti yang berjuang untuk mereka, untuk rakyat bukan untuk 'apa aku dapat'.

"Bersatu kena 'hijack' dan kami dibuang, saya sendiri sebagai pengerusi dibuang. Pergi mahkamah dan mahkamah kata apa Muhyddin (Yassin) buat betul. Sebab itu kita terpaksa tubuh parti baru.

"Jadi, saya nak isytiharkan parti ini dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air," katanya ketika membuat pengumuman itu pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi PRK Slim.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata berdasarkan matlamat parti Pejuang, beliau tidak menolak kemungkinan satu masa nanti mereka boleh bekerjasama.

"Saya nampak kalau pejuang ada matlamat sama, saya tak hairan satu masa mereka boleh bersama dalam 'grand coalition'," katanya.

Beliau turut tidak menafikan bahawa Bersatu buat masa ini agak sedikit kucar-kacir.

Namun katanya perkara itu adalah biasa dan yakin parti itu mampu mengatasinya.

"Dinampakkan ada kucar-kacir dalam Bersatu. Kita tak nafikan. Parti 60 tahun pun ada masalah, kita pun ada masalah," katanya.