Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Pakar S'pura persoal dakwaan D614G lebih mudah merebak

Pakar-pakar di Singapura dilapor mempersoalkan dakwaan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Noor Hisham Abdullah bahawa negara ini menemui strain virus yang menyebabkan Covid-19 menjadi 10 kali lebih mudah berjangkit.

Mereka juga mempersoalkan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan tidak akan berkesan terhadap varian virus baru itu.

"Mutasi ini tentunya tidak akan mempengaruhi keberkesanan vaksin kerana vaksin akan menghasilkan antibodi yang mengikat banyak bahagian protein virus dan tidak hanya terbatas pada bahagian mutasi," lapor Straits Times Singapura yang memetik timbalan pengarah program penyakit berjangkit di Duke-NUS Medical School, Ooi Eng Eong.

Pengarah program, Wang Linfa dilapor berkata kepada akhbar berkenaan bahawa "tidak ada data ilmiah yang jelas untuk mendakwa bahawa D614G lebih mudah tersebar, apatah lagi mendakwa ia sepuluh kali ganda".

Pakar penyakit berjangkit dari NUS Saw Swee Hock School of Public Health, Hsu Liyang berkata, strain virus yang membawa mutasi D614G dikesan di Singapura sejak Feb dan lebih 100 sampel dengan mutasi tersebut ditemui sehingga Julai lalu.

Hsu percaya kerana hanya sebilangan kecil sampel virus yang diuraikan, kemungkinan ada ribuan jangkitan di Singapura disebabkan oleh mutasi D614G.

Virus Covid-19 yang membawa mutasi D614G menarik perhatian para saintis kerana virus ini semakin berleluasa di banyak tempat di dunia, tetapi hanya sedikit persetujuan mengenai bagaimana perkara itu berlaku.

Beberapa makalah yang diterbitkan beberapa bulan lalu mempercayai dakwaan bahawa mutasi itu menjadikan Covid-19 lebih mudah merebak, walaupun jawapan pasti masih sukar difahami dan tidak jelas sejauh mana ia mudah menular.

Semalam, Dr Noor Hisham berkata sampel virus pada beberapa pesakit daripada kluster Sivagangga dan Bukit Tiram mendapati terdapat mutasi berkenaan dan kajian lanjut sedang dilakukan.

"Ia didapati sepuluh kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’," katanya

Dr Noor Hisham juga menggesa rakyat Malaysia agar lebih berwaspada dalam mencegah penyebaran penyakit berkenaan.

Sementara itu, Straits Times memetik Wang sebagai berkata varian D614G menunjukkan ia lebih sepadan secara genetik, tetapi ini tidak bermaksud ia tersebar dengan lebih mudah atau menyebabkan penyakit itu menjadi lebih teruk.

Ketua perubatan bahagian Penyakit Berjangkit Akademi Perubatan Singapura Dr Asok Kurup dilaporkan berkata tidak ada kesan klinikal daripada mutasi tersebut.

Bagaimanapun katanya jika terbukti ia lebih mudah merebak, langkah-langkah pencegahan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal menjadi lebih penting.