Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

APPM lepas tembakan pada nelayan Vietnam lepas dibaling bom diesel

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot asing berkenaan.

Ketika mengulas kejadian tembakan yang meragut nyawa seorang nelayan Vietnam pada 11.30 malam tadi, Pengarah APMM Kelantan Kapten Maritim Muhd Nor Syam Asmawie Yaacob berkata nelayan asing terbabit turut membaling getah yang dibakar ke arah bot APMM bagi tujuan membakar bot pihak berkuasa.

“Walaupun pihak APMM telah melepaskan tembakan amaran ke udara, nelayan asing terbabit enggan menyerah diri sebaliknya bertindak lebih agresif dengan merempuh bot APMM, mengakibatkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah bot bagi mempertahankan diri,” katanya kepada pemberita ketika membawa wakil media ke lokasi kejadian hari ini.

Sebelum kejadian, pemantauan radar pihak berkuasa negara mengesan kedua-dua bot berkenaan yang membawa 19 nelayan termasuk tekong menangkap ikan secara haram di perairan negara kira-kira 81 batu nautika dari muara Tok Bali pada 3.30 petang semalam.

APMM kemudian menghantar sepasukan anggota bagi mengekori dan menahan bot nelayan asing terbabit.

Menurutnya, selepas tembakan dilepaskan oleh pihak berkuasa, nelayan asing berkenaan menyerah diri manakala bot serta hasil tangkapan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2 juta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim di Tok Bali untuk siasatan menurut Seksyen 15)1(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 bagi awak-awak.

“Mayat mangsa berusia 30-an pula telah dihantar ke Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh untuk dibedah siasat,” katanya.

Muhd Nur Syam berkata mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963, boleh membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan sehingga enam enam sebatan.

Beliau berkata kes juga akan disiasat menurut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam.

“APMM akan terus memperkasa Op Kuda Laut dan tiada kompromi terhadap tindakan melampau nelayan asing yang menceroboh perairan negara dalam menguatkuasakan undang-undang sambil memastikan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” katanya.

- Bernama