Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Calon BN: Isu banjir fokus utama saya

PRK SLIM | Calon BN Mohd Zaidi Aziz berkata dia akan memberi fokus kepada isu banjir di kawasan Slim sekiranya diberi mandat oleh pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu 29 Ogos ini.

"Memang isu banjir itu adalah satu isu yang utama di sini. Rata-rata mana saya pergi pun isu banjir isu utama.

"Tadi saya pergi ke Trolak Pekan memang itu isu utama mereka.

“Jadi, isu banjir fokus utama saya dan perlu diselesaikan segera," katanya kepada Malaysiakini ketika bertemu di Felda Trolak Utara, Slim River, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Malaysiakini sebelum ini bahawa penduduk di Trolak Pekan mengharapkan isu banjir yang berlarutan hampir 52 tahun dapat diselesaikan pada PRK ini.

Malaysiakini turut diberitahu oleh penduduk Slim, bahawa selain Trolak Pekan, Trolak Utara, Kampung Bahru, Kuala Slim, Changkat Sulaiman antara kawasan sering dinaiki air.

Zaidi berkata taburan hujan yang tinggi di Slim antara punca banjir di DUN ini.

"Slim ini tempat kedua paling lembab di Perak selepas Larut. Bila hujan lebat taburan hujan sangat tinggi.

"Lepas itu air daripada lebuh raya banyak turun ke sungai menyebabkan air sungai akan naik dengan cepat dan apatah lagi ia bertemu dengan Sungai Bernam,” katanya.

Menurutnya lagi, Sungai Slim bertemu dengan Sungai Bernam di Tanjung Malim.

"Apabila hujan lebat di Tanjung Malim dan Behrang, maka sungai itu dinaiki air. Maka, air dari Sungai Slim tiada tempat menjadikan banyak kawasan di Slim dinaiki air.

Dia berkata masalah ini telah pun dikenal pasti dan dibawa ke kerajaan negeri dan pusat.

"Semasa allahyarham Datuk Khusairi menjadi Adun, beliau memaklumkan isu ini kepada pihak kerajaan negeri dan persekutuan.

"Pihak-pihak seperti JPS (Jabatan Paritan dan Sungai) majlis daerah (Majlis Daerah Tanjung Malim) JKR (Jabatan Kerja Raya) turun dan melihat masalah ini.

"Masalah telah dikenal pasti dan mencadangkan untuk membesarkan dan mendalamkan sungai antara Sungai Slim sampai ke Kuala Slim.

"Kemudian dari segi penyelenggaran seperti pembersihan sungai dan perlu mengadakan takungan air," katanya.

Namun, Zaidi berkata projek melibatkan dana yang tinggi.

"Kita dah tahu puncanya. Cuma kita menunggu kerana ia melibatkan pelbagai agensi dan melibatkan kewangan yang besar.

"Sebab itu ia perlu persetujuan daripada kerajaan persekutuan untuk meluluskan," katanya lagi.