Belia Sabah saran calon PRN diwajibkan isytihar harta
PRN SABAH | Sebuah pertubuhan belia menyaran kerajaan mewajibkan calon pilihan raya negeri (PRN) Sabah mengisytiharkan harta dan sumber pendapatan masing-masing sebelum atau semasa mengemukakan borang pencalonan.
Menurut Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS) Mazlan Joehari Manan langkah itu penting untuk memastikan harta seseorang calon setara atau sepadan dengan sumber pendapatannya, selain menghindarkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah pada masa hadapan.
Katanya, langkah itu juga dapat memperlihatkan komitmen calon ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan meningkatkan integriti.
“Cabaran utama parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti. Dengan langkah awal ini ia dapat membantu rakyat membuat tapisan terhadap calon pilihan raya.
"[...] Sekiranya semua parti yang bertanding dapat memperlihatkan kebertanggungjawaban dan integriti calon masing-masing, maka dapatlah rakyat mengharapkan agar gelanggang politik dan PRN ini dilaksanakan secara sihat dan mencapai matlamatnya iaitu memilih wakil rakyat serta menentukan kerajaan, " katanya seperti dipetik Utusan Borneo.
Saranan itu dilihat senada dengan cadangan disuarakan oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong, kelmarin.
Liew yang juga pengerusi tetap Warisan berkata pengisytiharan harta dan sumber pendapatan biasanya dilakukan selepas calon menang pada pilihan raya dan menjadi anggota kabinet.
Kata Liew, dia mahu membawa isu berkenaan ke sidang Dewan Rakyat akan datang agar semua anggota parlimen sama ada yang tidak berjawatan atau anggota kabinet - mengisytiharkan harta.
"Misalnya anggota Parlimen Pekan perlu isytihar harta, kerana pada pemerintahan kerajaan lalu (Pakatan Harapan) kita buat isytihar harta," katanya.
Di bawah PH, usul untuk mewajibkan anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diluluskan pada 1 Julai 2019.
Ia merupakan janji ke-14 manifesto PH yang menyatakan semua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan gred Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) ke atas diwajibkan mengisytiharkan aset dan pendapatan.
Selepas pertukaran kerajaan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Mac berikrar agar semua ahli kabinetnya perlu membuat pengisytiharan harta.
Setakat Julai 2020, katanya di Dewan Rakyat, masih ada lima anggota kabinetnya yang belum membuat pengisytiharan harta, dan menegaskan dia mengambil berat akan perkara berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai