Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pilih wakil rakyat tak boleh dijual beli, rayu calon Slim

PRK SLIM | Calon bebas yang disokong Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu pengundi Slim memilih seorang calon yang memiliki wibawa dan tidak boleh dibeli.

Calon berusia 38 tahun itu berkata orang ramai terganggu dengan tindakan ahli politik melompat parti yang menyebabkan keruntuhan kerajaan PH di tengah-tengah wabak Covid-19.

"Kita dikejutkan dengan Covid-19, ketika pandemik, berlaku pula proses pertukaran kerajaan, saya percaya majoriti rakyat tak berasa selesa dengan wakil rakya melompat parti, menyokong kerajaan yang dirasakan menawarkan habuan yang lebih lumayan, jadi saya percaya rakyat berasa resah.

"Bahkan ketika PRU14, rakyat merasakan bahawa ada proses demokrasi yang segar berlaku, tapi sayangnya lepas 22 bulan, perkara sebaliknya berlaku.

"Dengan keadaan rakyat susah, ekonomi teruk, berlaku pula pertukaran kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.

Berdasarkan peristiwa keruntuhan PH itu, Amir berkata pengundi Slim perlu menilai calon yang diyakini untuk diundi sebagai wakil rakyat mereka.

"Saya mahu bawa perubahan yang lebih segar. Anak muda, berilah saya peluang, saya percaya dalam umur 38 tahun ini. Pengundi perlu menilai wakil rakyat yang mempunyai kredibiliti, boleh dipercayai dan tak boleh dijual beli," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Amir sebagai calon parti barunya Pejuang yang akan menghadapi calon BN, Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz.

Parti Pejuang yang ditubuhkan Mahathir masih belum berdaftar dengan ROS lagi.

Amir seorang peguam syarie berkata dirinya terjun ke dunia politik melalui penglibatan di dalam Bersatu pada Mac 2018 apabila bertindak sebagai penasihat undnag-undang Bersatu Perak. Beliau bertanding jawatan ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan pada Februari tahun ini tetapi tewas.

Amir meninggalkan Bersatu selepas Presidennya Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada gabungan PH bagi bersama pembangkang ketika itu termasuk Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan PN.

Slim dekat di hati saya

Ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding di Slim, Amir berkata kerusi DUN itu cukup dekat di hatinya.

Untuk rekod, Amir dilahirkan di Teluk Intan dan dibesarkan di Bidor, yang terletak kira-kira 39km dari Slim River.

Beliau berkata ibu dan arwah ayahnya ialah guru agama, dan datuknya juga seorang guru agama pada tahun 1980-an.

Pesaing utamanya pada PRK ini, Mohd Zaidi (gambar, bawah), yang mewakili Barisan Nasional, berasal dari Slim. 

Kerusi itu merupakan kubu kuat Umno dan diwakili oleh allahyarham Mohd Khusairi Abdul Talib selama empat penggal sebelum beliau meninggal pada Julai lalu kerana sakit jantung.

Umno, dalam kempennya membangkitkan isu Amir harus ditolak kerana beliau bukan anak tempatan, namun calon disokong Pejuang itu berkata beliau tidak terganggu dengan serangan berkenaan.

"Saya percaya Slim yang panggil saya.

"Isteri saya adalah doktor pakar pelawat di sini di Jabatan Radiologi sejak beliau bertugas di Hospital Teluk Intan, beliau perlu hadir untuk cover urusan-urusan pakar radiologi di Hospital Slim River ini, tidak lain tak bukan, saya sentiasa berada di sini.

"Keluarga ibu saya berasal dari Bidor, datuk saya merupakan seorang ulama pada tahun 1980an, dia guru agama, mengajar dari Bidor, Tapah, sehingga ke kawasan Trolak.

"Bahkan ketika saya menetap di Bidor, jiran kepada keluarga saya adalah allahyarham YB Junus Wahid," katanya.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH dengan lambang PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Pengundian PRK Slim akan berlangsung pada 29 Ogos ini.