Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

UAE khianat - Pemuda PAS gesa k'jaan panggil balik duta

Pemuda PAS menyifatkan perjanjian damai dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel sebagai satu pengkhianatan bukan saja kepada Palestin, tetapi juga dunia Islam.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya dan mengecam perjanjian damai itu yang baru sahaja dimeterai minggu ini.

"Pemuda PAS menyifatkan tindakan UAE sebagai satu pengkhianatan kepada umat Islam terutamanya rakyat Palestin, serta dunia Islam.

"Suatu penghinaan besar buat UAE apabila sanggup bersama dengan musuh Islam yang giat menyembelih saudara seagama mereka.

"Tidak terjangkau oleh akal fikiran yang sihat bagaimana sebuah negara seperti UAE yang dipimpin oleh seorang pemimpin beragama Islam, serta majoriti penduduknya beragama Islam sanggup berjabat tangan dengan pemimpin rejim Israel dan Zionis yang dikotori darah dan air mata rakyat Palestin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 13 Ogos lalu dilaporkan CNN mengumumkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE Mohammed bin Zayed telah bersetuju memeterai perdamaian yang dikenali "Perjanjian Abraham."

Bernama pula melaporkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Khamis menyuarakan pendiriannya menolak pengumuman mengenai perjanjian Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mahu memulihkan hubungan diplomatik dengan rejim Israel, lapor agensi berita Anadolu.

Mahmoud berkata demikian melalui perbualan telefon dengan ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Haniyeh pula menegaskan mengenai sokongannya kepada kepemimpinan Palestin.

"Kami semua bersama presiden yang berpegang teguh pada penubuhan negara Palestin berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara," kata Haniyeh, menurut satu kenyataan agensi berita WAFA.

UAE ialah negara Arab ketiga yang mencapai perjanjian sedemikian untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.

Dalam pada itu, Pemuda PAS berkata pengkhianatan UAE terhadap Palestin ini harus ditentang oleh semua negara dunia Islam, termasuk Malaysia.

"Maka Pemuda PAS menuntut kerajaan Malaysia mengecam tindakan UAE, serta memanggil pulang duta Malaysia di UAE sebagai bantahan kepada pengkhianatan ini.

"Pemuda PAS akan terus bersolidariti bersama saudara seagama kami di Palestin dan dunia Arab yang ditindas dan dizalimi oleh rejim Zionist Israel. Segala bentuk hubungan dan perjanjian damai bersama Israel adalah suatu pengkhianatan, dan harus ditolak oleh umat Islam," tegasnya.