Ismail: Saya tak tahu peristiwa Armada kena 'boo'
PRK SLIM | Ismail Sabri Yaakob berkata, dia tidak boleh memberikan komen mengenai peristiwa wakil Pemuda Bersatu (Armada) diejek ketika majlis pelancaran jentera Pemuda BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, baru-baru ini.
Menurut Naib Presiden Umno itu, dia tidak berada di situ ketika kejadian itu berlaku.
"Saya tidak ada waktu peristiwa itu berlaku".
"Jadi, saya tak boleh komen pasal peristiwa yang saya tak tahu," katanya selepas menghadiri Projek Mural Kebangsaan di Pekan Slim, pagi tadi.
Ismail ditanya mengenai insiden penyokong BN, menyorak "boo" kepada wakil Armada apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyebut bahawa Bersatu berhasrat secara rasmi menyertai Muafakat Nasional, gabungan Umno dan PAS.
Tiga wakil Armada terbabit, termasuk Ketua Pemuda Bersatu Perak Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh menghadiri majlis berkenaan yang turut dihadiri wakil Pemuda PAS.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN Annuar Musa semalam beranggapan layanan penyokong BN terhadap wakil Pemuda Bersatu sebagai sangat tidak wajar.
Kata Annuar, Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menumpukan gerak kerja untuk PRK Slim secara berpasukan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga dilihat cuba mengelak menjawab soalan apakah Armada tidak dipelawa ke program berkenaan.
"Itu saya kata tadi. Saya tidak tahu. Saya tidak di situ.
"Jadi, saya tidak boleh komen sesuatu yang saya tidak tahu," tambahnya.
Terdahulu, Ismail bersama calon BN Mohd Zaidi Aziz berjumpa dengan pengundi di kawasan Pekan Slim untuk meraih undi.
PRK Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai, akibat serangan jantung.
Ia akan diadakan pada 29 Ogos dengan pengundian awal pada 25 Ogos.
Dun Slim mempunyai 23,094 pengundi berdaftar, yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 75 peratus, diikuti oleh kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai