Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kerajaan setuju bentuk kumpulan khas belia menasihat PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bersetuju untuk membentuk kumpulan khas penasihat anak muda dalam usaha kerajaan memperkukuhkan landasan pembangunan golongan terbabit di negara ini.

Selain itu, perdana menteri turut mengumumkan bakal melantik seorang wakil belia sebagai senator di Dewan Negara.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, keputusan itu diambil hasil pertemuan beliau dengan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) baru-baru ini.

“Setiap satu yang dibangkitkan, kesemuanya dicatit dan sebahagian besar cadangan saya setuju dengan cadangan yang dikemukakan MBM. Saya nak umumkan di sini antaranya yang disebutkan saudara Jufitri Joha tadi adalah, supaya kerajaan menubuhkan kumpulan khas penasihat anak-anak muda.

“Nasihat saya untuk memberitahu bagaimana harus saya lakukan untuk anak-anak muda. Saya bersetuju dengan cadangan itu dan insya-Allah ini akan kita laksanakan.

“Untuk menentukan suara anak-anak muda sampai ke peringkat tertinggi dalam sistem demokrasi, saya juga nak umumkan lantikan seorang wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di Putrajaya.

Pengumuman Muhyiddin disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 400 belia dan jemputan.

Tunjuk contoh terbaik

Terdahulu, Jufitri yang merupakan Presiden MBM dalam ucapannya memohon agar perdana menteri mempertimbangkan penubuhan kumpulan khas penasihat anak muda berkepakaran bagi menasihati, memberi idea dan bekerja bersama-sama pemimpin nombor satu negara bagi membangunkan belia dan negara.

Jufitri juga berharap kepimpinan negara menampilkan lebih ramai tokoh muda yang berkelayakan untuk berada dalam dewan legislatif dan platform pembuat dasar di semua peringkat selaras dengan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.

Sementara itu, Muhyiddin mengangkat peranan belia yang turut membantu membudayakan hasrat kerajaan untuk mengamalkan norma baru dengan mendorong kepada peningkatan penggunaan platform digital dalam perniagaan.

Menurutnya daripada sekadar berkomunikasi, belia telah dapat memanfaatkan platform digital untuk menjana pendapatan.

“Ini telah membuka peluang kepada sektor industri yang menjana manfaat jangka pendek, seperti industri e-dagang, makanan, pertanian dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Muhyiddin turut menyentuh peranan penting belia dalam negara ketika berdepan dengan wabak Covid-19.

Tambah ahli parlimen Pagoh itu, belia pasti sudah bersedia untuk menjadi pasukan ‘barisan hadapan’ dalam membantu kerajaan memerangi Covid-19.

“Justeru saya menyeru para belia sekalian untuk menunjukkan contoh terbaik dalam membudayakan norma baru dalam kehidupan harian kita.

"Tanpa kerjasama saudara saudari sekalian, adalah mustahil untuk kita berjaya menamatkan terus rantaian jangkitan Covid-19 ini,” katanya.

Beliau percaya golongan belia - yang ramai terdiri daripada kalangan petugas barisan hadapan - menjadi contoh generasi berdaya tahan terhadap cabaran getir, seperti wabak Covid-19 yang sedang negara perangi.

Pada sambutan tersebut, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada 13 pemenang Anugerah Perdana Belia Negara, termasuk penceramah bebas Ebit Irawan Ibrahim Lew atau dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, yang menerima anugerah khas.

Turut hadir Menteri Besar Johor Hasni Mohammad serta Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican.

- Bernama