Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'SPR boleh luaskan kategori pengundi pos bagi rakyat Sabah di luar negeri'

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk membenarkan rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri mengundi melalui undi pos pada pilihan raya negeri yang akan datang, kata bekas setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor.

Kamaruzaman, yang bertugas sebagai setiausaha SPR pada 2004 hingga 2008 berkata ia dapat dilakukan dengan hanya memperluas kategori pengundi pos kepada rakyat Sabah yang tinggal di luar negeri.

Katanya, SPR berkuasa untuk melakukannya di bawah peraturan pilihan raya sekarang dan tidak memerlukan pindaan undang-undang yang ada atau Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang saya lihat, sebagai (bekas) pengamal dan pentabdir SPR, ada satu klausa di bawah Peraturan 3 perjalanan pilihan raya (pengundian pos) 2003, di mana SPR boleh gunakan klausa sedia ada untuk isytiharkan kategori-kategori ini sebagai pengundian pos," katanya dalam sebuah webinar isu undi pos, semalam.

Fasal 3 (1) (e) peraturan tersebut menyatakan bahawa anggota dari setiap kategori individu dapat dijadikan sebagai pengundi pos oleh SPR dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam warta.

Oleh yang demikian, Kamaruzaman mengusulkan agar SPR memperluas kategori pengundi pos kepada orang Sabah yang bekerja di Semenanjung, negeri jiran atau negara-negara lain serta mereka yang tinggal jauh dari daerah pengundian.

Kamaruzaman turut mengatakan bahawa rakyat Malaysia di seluruh negara juga harus diberikan hak pilihan raya yang sama tanpa perlu pulang ke rumah untuk mengundi.

Katanya, ia boleh menjadi titik bersejarah sekiranya SPR dapat melonggarkan peraturan yang melibatkan pengundi pos.

Ketika dihubungi, Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom mengatakan bahawa suruhanjaya itu akan mengeluarkan kenyataan untuk menangani isu undi pos selewat-lewatnya hari ini.

Pada masa ini, anggota keselamatan, pegawai media, pegawai di sembilan jabatan dan agensi kerajaan layak untuk pengundian pos dalam negeri.

SPR pernah melonggarkan peraturan untuk membenarkan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara untuk mengundi melalui pos.

Pada pilihan raya umum 2018, lebih daripada 200,000 rakyat Malaysia di luar negara boleh mengundi pos.

Awal bulan ini Bersih Sabah menggesa SPR mempertimbangkan untuk membenarkan orang Sabah yang bekerja di Sarawak dan Semenanjung untuk mengundi pos dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sabah akan mengadakan PRN selewat-lewatnya pada akhir September susulan pembubaran dewan undangan negeri pada 30 Julai lalu.

Gesaan serupa didengar dari Sarawak kerana ribuan orang bekerja di luar daerah, negeri dan negara jiran.

PRN Sarawak ke-12 mesti diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Kamaruzaman menggesa Bersih untuk mengajukan petisyen berhubung perkara itu kepada SPR sesegera mungkin kerana SPR semakin kesuntukan masa.

SPR perlu mengadakan PRN Sabah dalam tempoh 60 hari setelah dewan undangan negeri dibubarkan.

"SPR ada baki 47 hari untuk melakukan pengundian ... Sekiranya kita terlambat, maka kemungkinan SPR tidak dapat menjayakannya," katanya.