'Mak cik gelang pink' kena penjara sehari, denda RM8,000
Mahkamah Majistret Ipoh menjatuhkan hukuman penjara selama satu hari serta denda RM8,000 ke atas seorang wanita yang juga dikenali sebagai 'mak cik bergelang pink' kerana melanggar perintah kuarantin rumah.
Tertuduh, Nur Emah Mohamad Hashim, 72, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Nabihah Mohd Noor.
Nur Emah didapati tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ketika dikenakan perintah kuarantin di rumah, 6 Julai lalu.
Gambarnya memakai gelang merah jambu, gelang yang dipakaikan pada pesakit di bawah pengawasan (PUS), sedang menikmati hidangan di sebuah medan selera tular di media sosial sebelum ini.
Nur Emah didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang membawa hukuman di bawah Seksyen 24 (a) akta yang sama.
Nur Emah sebelum ini diperintahkan untuk menjalani kuarantin 14 hari di rumah setelah pulang dari luar negara pada 4 Julai.
Individu yang menjalani kuarantin rumah wajib tinggal di rumah selama 14 hari dan mengambil ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13.
Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar perintah kaarantin rumah.
Semalam, pemilik Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana melanggar perintah kuarantin rumah di bawah Seksyen 15 (1) Akta tersebut.
Orang ramai berulang kali diberi amaran kemungkinan hukuman penjara sekiranya mereka tidak mematuhi perintah kaurantin yang dikenakan ke atas mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai