MBSA keluar 101 notis pada pemilik premis sejak 2 hari lalu
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengeluarkan 101 notis terhadap pemilik premis di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh sejak dua hari lepas, yang didapati membina struktur tambahan pada bangunan tanpa kebenaran.
Timbalan Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan berkata, kesemua notis yang dikeluarkan sejak Isnin lepas itu adalah di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Beliau berkata notis itu dikeluarkan hasil pemeriksaan, yang mendapati ada premis kilang, restoran serta rumah kedai melakukan kerja-kerja tambahan pindaan tanpa kelulusan MBSA seperti membina ‘awning’ (pelindung matahari), dinding, binaan lantai, bahu jalan dan lain-lain struktur.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan peniaga haram di sekitar kawasan Sungai Buloh, hari ini.
Operasi itu melibatkan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.
Selain itu, Mohd Rashidi (gambar, bawah) berkata beberapa struktur binaan tambahan yang tidak mendapat kebenaran turut dirobohkan semasa operasi berkenaan.
Beliau berkata operasi itu juga membabitkan pemeriksaan terhadap gerai yang beroperasi tanpa kebenaran di bahu jalan, yang didapati mengakibatkan masalah kesesakan lalu lintas dan membangkitkan isu keselamatan pengguna jalan raya.
Jelasnya 25 premis perniagaan tanpa lesen yang diusahakan oleh warga tempatan telah diambil tindakan dari awal tahun ini sehingga bulan lepas.
“Dalam tempoh yang sama, 19 premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan oleh warga asing disita di sekitar kawasan Bandar Baru Sungai Buloh. Tindakan sitaan diambil di bawah Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan Peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen) serta Peruntukan 42 (kuasa sitaan),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Rashidi mendedahkan individu yang menularkan video berkaitan isu premis perjudian di Sungai Buloh yang tular di media sosial baru-baru ini, pernah ditawarkan tapak penjaja sementara di Jalan 1A/3 di Sungai Buloh, namun dia menolak tawaran itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai