Lelaki pukul pengawal keselamtan dipenjara 4 bulan
Seorang lelaki warga Nepal dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, kerana memukul seorang pengawal keselamatan warganegara sama yang rakaman videonya tular di media sosial, dua minggu lalu.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Ram Gopal Murau, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam bahasa Malaysia.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 3 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Eslam Husen, 26, menggunakan cota kayu sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di ruang letak kereta sebuah kompleks membeli-belah di Taman Melati, di Kuala Lumpur, pada jam 12 tengah hari, 7 Julai lepas.
Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama di masa akan datang manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan.
Menerusi video berdurasi 44 saat bertarikh 7 Julai lalu itu, kelihatan mangsa dipukul berkali-kali dengan cota kayu selain ditampar dan ditumbuk oleh suspek.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai