Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas ketua Armada Gerik dakwa AJK pemuda bahagian bubar

Ekoran peletakan jawatan ketua Pemuda Bersatu (Armada) Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad beberapa hari lalu, hampir semua ahli jawatankuasa (AJK) Armada bahagian didakwa turut meletak jawatan dan mengisytiharkannya keluar parti.

Ahmad Safwan hari ini mendakwa AJK Armada Bahagian Gerik telah terbubar berdasarkan peraturan Pemuda Bersatu.

"Menurut perlembagaan Bersatu, di bawah peraturan Armada, dalam perkara 11.11, sekiranya dua pertiga atau lebih daripada AJK meletakkan jawatan, maka terbubarlah jawatankuasa itu.

"Maka, saya dengan ini mengumumkan pembubaran AJK Armada Bahagian Gerik [...]," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof semalam menegaskan tiada bahagian parti itu yang dibubarkan pada masa ini.

Beliau berkata bahagian yang Ahli Jawatankuasanya (AJK) mengumumkan keluar parti tidak terbubar sebaliknya ia masih berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ketika dihubungi, Ahmad Safwan mendakwa bilangan AJK Armada Gerik yang dilantik adalah seramai lapan orang kesemuanya.

"Kesemua yang dipilih ada lapan orang, yang dilantik (pula) belum dibuat apa-apa lantikan.

"Maka enam daripada lapan orang (meletakkan jawatan)," katanya kepada Malaysiakini.

Selepas ini, jelasnya urusan Armada akan diambil alih oleh Bersatu bahagian yang akan menubuhkan jawatankuasa sementara, sehingga diadakan pemilihan baru.

Ahmad Safwan meletak jawatan dan keluar parti pada 5 Ogos lalu, namun menegaskan hari ini yang tindakan itu bukanlah komplot untuk menjatuhkan sesiapa.

Sebaliknya, ia dibuat atas dasar kejujuran pada nilai dan prinsip perjuangan, tanpa ada hasutan daripada sesiapa.

Peletakan jawatannya itu berlaku dua hari sebelum pengumuman penubuhan parti baru oleh bekas pengerusi dan pengasas parti itu, Dr Mahathir Mohamad.

Selain dirinya, lima orang AJK Armada Gerik yang turut meletakkan jawatan ialah penolong setiausaha, penolong bendahari, dan tiga AJK biasa.

Bersatu kini berdepan episod keluar parti daripada ahli-ahlinya, selepas pengumuman parti Mahathir.

Antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin, A Kadir Jasin, Tariq Ismail Mustafa dan Abu Bakar Yahya.

Exco Armada Abu Hafiz Salleh Hudin dan Adun Jeram Mohd Shaid Rosli juga mengumumkan keluar parti dan menyertai parti Dr Mahathir.

Selain itu, terdapat juga spekulasi akan ada gelombang keluar parti di Johor pula.

Ditanya apakah dia juga akan menyertai parti baru Tun, Ahmad Safwan menjawab dia tak menolak sebarang kemungkinan.

Dakwanya, kebanyakan pimpinan Bersatu di cawangan dan bahagian, dan rakyat secara amnya, tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menyokong kerajaan sedia ada kerana terdesak.

"Saya menyokong sebarang usaha untuk mengembalikan semula mandat rakyat.

"[...] Buat masa ini, saya akan bergerak di bawah NGO bagi mengembalikan keyakinan rakyat tentang hak mereka.

"Namun saya tidak menolak sebarang kemungkinan ... Saya akan umumkan perkara itu kemudian nanti," katanya lagi.