Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri perlu henti sasar pekerja berpendapatan rendah - MTUC

Setiausaha Agung MTUC J Solomon, kerajaan perlu mengambil langkah bagi menyelesaikan jurang pendapatan antara pengurusan tertinggi syarikat dan pekerja biasa.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas Menteri Sumber Manusia M Saravanan kerana sekali lagi menggesa rakyat mengambil apa saja pekerjaaan, termasuklah yang bergaji rendah dalam sektor kotor, bahaya dan sukar, atau 3D.

Sebaliknya, kata Setiausaha Agung MTUC J Solomon, kerajaan perlu mengambil langkah bagi menyelesaikan jurang pendapatan antara pengurusan tertinggi syarikat dan pekerja biasa.

“Kami mahu tanya menteri, kenapa dia selalu sasar golongan pekerja berpendapatan rendah, sedangkan tidak menangani pendapatan yang terlalu tinggi (sinfully highly-paid) di kalangan pengurusan tertinggi dan ahli politik negara ini, yang sepatutnya boleh menyelamatkan banyak (peluang) pekerjaan dengan memotong gaji dan upah mereka dalam masa sebegini.

“Kenapa dia tak cadangkan dalam masa krisis ini, agar siling (pendapatan) ditetapkan, berbanding membiarkan pihak yang berkenaan menentukan sendiri gaji dan bonus mereka,” kata Solomon.

“Bagaimana dengan ahli-ahli parlimen yang dilantik mengepalai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) baru-baru ini?

“Mereka dapat semua elaun ahli parlimen, tambahan kepada emolumen GLC yang boleh mencecah lebih RM40,000 sebulan,” kata Solomon yang menggambarkan situasi itu sebagai “tidak bermoral” jika dibandingkan dengan seorang buruh biasa.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Kata Solomon, gesaan Saravanan itu dibuat meskipun setelah MTUC berkali-kali memberi peringatan bahawa gaji yang rendah merupakan penghalang utama untuk rakyat Malaysia bekerja dalam sektor 3D.

“Dibantu polisi kerajaan, majikan dapat mengekalkan gaji yang rendah untuk pekerjaan sebegini sedangkan mereka mengaut keuntungan yang tinggi, berbanding pekerja-pekerja yang dibayar dengan begitu rendah, rata-ratanya pekerja asing.

“Majikan ambil kesempatan ke atas pekerja asing yang miskin, yang bergantung pada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup,” kata Solomon.

“Contohnya, seorang CEO di sebuah syarikat milik Malaysia yang terkemuka, yang mendapat gaji tertinggi di Malaysia, mendapat pendapatan 7,000 kali lebih tinggi berbanding pekerja dengan pendapatan terendah.

“Syarikat yang sama memilih untuk membuang 30 peratus tenaga kerjanya semasa wabak (Covid-19), berbanding memotong gaji pengurusan tertingginya untuk mengekalkan sebahagian pekerjaan,” katanya lagi.

Tebus penganiayaan berdekad

Solomon turut mengulangi saranan agar pekerja diberikan wang sara hidup, memandangkan gaji minimum dikira berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan yang disemak semula dari RM980 ke RM2,208.

“Dengan semakan semula ini, kerajaan berhutang kepada pekerja miskin untuk menyemak semula gaji minimum dalam kadar segera, bagi menebus penganiayaan berdekad-dekad (terhadap mereka) dengan bayaran gaji yang rendah dan tak adil,” tambahnya.

Pada Sabtu, Saravanan menggesa semua rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan semasa wabak Covid-19 agar menggapai apa saja peluang pekerjaan. Hujahnya, bergaji rendah lebih baik daripada tiada gaji.

Berdasarkan Jabatan Statistik, kadar pengangguran setakat Jun menurun ke 773,200 orang, berbanding 826,100 orang pada Mei.

Dalam pekembangan berkaitan, Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) telah bertemu dengan Saravanan di parlimen semalam dan menyerahkan cadangan pindaan terhadap Akta Kerja 1955 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Gabungan yang diketuai oleh pengerusi bersama Nadesan Gopalkishnam itu turut menggesa Saravanan untuk segera melaksanakan Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 yang mendapat perkenan diraja pada Februari dan menunggu diwartakan untuk ditetapkan tarikh pelaksanaan oleh menteri itu.

“Kami dah minta menteri laksanakan akta pindaan itu secepat mungkin dan dia bersetuju lihat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, perubahan utama hasil daripada pelaksaaan akta pindaan itu nanti adalah membabitkan pertikaian proses penyelesaian berkenaan pemecatan tidak adil dan persengketaan berkaitan kesatuan.

Tambahnya, menteri itu turut bersetuju untuk menyemak semula pindaan yang dicadangkan LLRC, termasuk perkataan berunsur diskriminasi yang digunakan di dalam akta dan bahagian yang dikatakan mendiskriminasi wanita dengan mengecualikan perlindungan yang sepatutnya dinikmati oleh semua pekerja di Malaysia.

[Baca berita asal]