'Bodoh jika Bersatu akur guna logo BN pada PRU15'
Ketua Penerangan Bersatu Melaka Mohd Raduan Ja'apar menyifatkan parti itu akan dilihat "bodoh" jika setuju dengan cadangan menggunakan logo BN pada PRU ke-15.
"Hakikatnya, kenapa perlu guna logo BN? Kesan liabiliti Najib Razak sebagai bekas 'perdana menteri kleptokrasi' masih ada.
"Kenapa tidak mengunakan lambang yang baru yang tidak terikat dengan lambang dacing.
"Bersatu akan dilihat kurang cerdik dan bodoh jika akur dengan saranan itu," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.
Dalam hantaran itu, dia juga melampirkan laporan berkenaan kenyataan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki yang mencadangkan agar logo BN digunakan sebagai lambang rasmi untuk pilihan raya Sabah dan PRU ke-15.
Menurut Asyraf, cadangan itu telah dipanjangkan kepada parti Perikatan Nasional iaitu PAS dan Bersatu.
Kenyataan itu sehari selepas calon Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan sebagai berkata bendera Perikatan Nasional (PN) akan digunakan bagi PRN Sabah yang bakal diadakan.
Raduan berkata lagi, bendera baru wajar digunakan memandangkan Umno dan PAS telah bersama-sama Bersatu untuk membentuk PN.
"Jika Umno ikhlas, mereka perlu bersama-sama dalam PN dan menggunakan logo baru dan segar. Malangnya Umno telah mengisytiharkan untuk tidak mahu bersama dalam PN (secara rasmi)," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai