Musa bersama 32 Adun harap mahkamah benarkan semakan kehakiman
Seramai 33 Adun yang diketuai bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman berharap mahkamah membenarkan semakan kehakiman berhubung keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin membubarkan Dun di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Musa berkata mereka percaya Juhar telah menerima nasihat yang salah untuk membubarkan DUN.
"Gabungan 33 Adun yang mewakili setiap parti politik yang berada di Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 tetap teguh dalam perjuangan untuk kebenaran dan keadilan.
"Adalah menjadi harapan kami agar mahkamah membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan TYT untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah kerana kami percaya dia menerima nasihat yang salah," katanya.
Adun Sungai Sibuga itu dan 32 yang lain memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk mencabar pembubaran Dun Sabah pada 30 Julai lalu.
Juhar dan ketua menteri Sabah, Shafie Apdal disebut sebagai responden pertama dan kedua.
Bulan lalu, Shafie, yang juga presiden Warisan, mengumumkan pembubaran DUN Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri setelah mendapat persetujuan Juhar.
Langkah tersebut diambil selepas Musa mendakwa memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajan negeri yang baru.
Bagaimanapun Musa gagal memasuki Istana Negeri untuk bertemu Juhar.
Setiausaha sulit Juhar juga mengatakan bahawa Yang Di-Pertua Negeri Sebah itu tidak pernah menerima 33 Akuan Bersumpah (SD) daripada Adun yang menyokong Musa.
Pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan negara.
KDNK terendah di Malaysia
Musa berkata Sabah di bawah kerajaan Warisan yang dipimpin Shafie gagal membangunkan negeri ini, khususnya dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Memalukan bahawa selama dua tahun berturut-turut kita dikenali sebagai negeri dengan kadar pertumbuhan KDNK terendah di seluruh Malaysia.
"Paling rendah walaupun dibandingkan dengan negeri termiskin di negara ini.
"Semakin lama Shafie berkuasa, Sabah akan terus lemah dari segi pembangunan ekonomi kerana aktiviti perniagaan yang semakin berkurang dan kurangnya pelaburan langsung asing," katanya.
Musa memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Ogos lalu yang menyatakan KDNK Sabah menurun 0.5 peratus tahun lalu.
"Pengangguran berada pada tahap 5.8 peratus - yang terburuk dalam 20 tahun - yang bermaksud lebih daripada 117,000 orang Sabah dibiarkan menganggur," katanya.
Musa berkata ketika Sabah berada di bawah pimpinannya, ekonomi tempatan berkembang.
"Setelah memimpin Sabah dalam empat pilihan raya umum dan menjadi ketua negeri selama 15 tahun, kerajaan saya berjaya menstabilkan dan memacu ekonomi tempatan ke tahap baru.
"Kami sebagai satu pasukan telah mengangkat martabat rakyat Sabah di mata negara jikapun bukan dunia. Ini merupakan fakta," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai