Kes judi, peniaga haram Sg Buloh: SPRM tahan 3 pegawai MBSA
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dilaporkan menahan tiga pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Sungai Buloh yang didakwa melindungi premis perniagaan tanpa lesen.
Menurut Sinar Harian yang memetik sumber, ketiga-tiga suspek berusia antara 41 hingga 49 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya ketika dipanggil memberi keterangan pada jam sembilan pagi tadi.
Dua penguatkuasa yang ditahan dari cawangan Sungai buluh manakala seorang lagi dari MBSA Shah Alam.
Sumber turut berkata, penguatkuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300 ke RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan, termasuk premis yang menjalankan perniagaan makanan tanpa lesen, rokok seludup serta perjudian.
Ada juga yang membocorkan maklumat tentang operasi pihak berkuasa, katanya lagi.
SPRM juga turut menahan individu Aceh yang menjual rokok seludup seperti yang ditunjukkan dalam video yang tular sebelum ini kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan. Menurut laporan itu, dia akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Menurut laporan itu, dia telah mula berniaga sejak 2019 dan membayar RM300 sebulan kepada penguatkuasa bagi mengelakkan sebarang tindakan.
Tangkapan ini susulan pendedahan dua video yang tular di media sosial yang mendakwa pihak berkuasa tidak bertindak terhadap gerai tanpa lesen serta peniaga rokok seludup dan pemilik premis judi haram di Bandar Baru Sungai Buloh.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu, selepas pertemuan dengan pemilik rangkaian Hot Burger Mohd Asri Hamid, yang juga individu yang membuat pendedahan tersebut.
Bukit Aman juga berkata telah memulakan siasatan terhadap kemungkinan anggota polis Sungai Buloh juga terlibat dalam melindungi pusat perjudian haram di daerah itu.
Sinar Harian turut memetik Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya yang mengesahkan tangkapan tiga pegawai tersebut.
Dia juga tidak menolak kutipan rasuah dibuat secara sindiket di kalangan anggota penguatkuasa.
Siasatan dijalankan dibawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai