Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahmad Maslan cadang k'jaan hadkan perbelanjaan tambahan

PARLIMEN | Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan mencadangkan kerajaan mengehadkan perbelanjaan tambahan bagi mendorong disiplin fiskal yang lebih baik.

Ahmad berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang (RUU) perbekalan tambahan sebanyak RM7 bilion bagi menampung perbelanjaan operasi dari tahun lalu.

Bekas timbalan menteri kewangan itu berkata langkah menetapkan perbelanjaan tambahan dapat menggalakkkan kementerian agar lebih cekap berbelanja. 

"Adakah siling yang tertentu? Kalau tak ada siling kita kena disiplinkan kementerian dengan letakkan siling tertentu

"Tiap-tiap tahun bajet tambahan boleh tapi tak boleh lebih RM5 bilion, contohnya," katanya.

Ahmad juga berkata kerajaan boleh menetapkan agar tidak lebih daripada satu perbelanjaan tambahan, kecuali dalam keadaan luar biasa seperti wabak Covid-19.

Perbelanjaan tambahan menjadi amalan biasa bagi  membolehkan kerajaan membelanjakan lebih banyak wang daripada apa yang telah dipersetujui dalam perbelanjaan tahunan.

Meskipun perkara itu tidak dapat dielakkan, Ahmad berkata usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan RUU perbekalan tambahan kepada sekali setahun berbanding sehingga empat kali setahun sebelum ini.

Dalam ucapannya, Ahmad juga berkata belanjawan tambahan tidak sepatutnya digunakan untuk semua perbelanjaan kerajaan.

Ahmad berkata perkara seperti emolumen untuk agensi seperti Sirim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Pusat penyelidikan dan pembangunan gunaan nasional (Mimos) sudah dianggarkan sebelum ini dan tiada alasan bagi kerajaan meminta peruntukan tambahan.

"Ada yang perlu bajet tambahan ada yang tak perlu. Jangan sengaja-sengajakan. Kalau ada dalam perancangan tetap tak patut ada bajet tambahan," katanya.

Katanya pengecualian boleh dilakukan seperti perbelanjaan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengadakan pilihan raya kecil, kerana mustahil untuk meramalkan PRK dalam setahun.