Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Lebih baik muafakat sesama Melayu dari jadi tali barut DAP'

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah, membidas kenyataan Ketua Pemuda DAP di negeri itu, Sheikh Umar Bagharib Ali yang menyifatkan Bersatu Johor ibarat anak tiri dan tongkat dalam Perikatan Nasional (PN).

Mohd Hairi sebaliknya mempersoalkan keikhlasan DAP dalam membela masyarakat Melayu dan Bumiputera, serta mendakwa parti itu mempunyai agenda untuk 'mencorakkan Malaysia menjadi sebuah negara DAP'.

"Selama 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, terserlah sikap DAP yang mempergunakan kuasa itu sepenuhnya untuk mencorak Malaysia sebagai sebuah negara DAP.

"Jadi, adalah lebih baik bermuafakat sesama orang Melayu dan Islam daripada menjadi tali barut DAP, " katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Mohd Hairi juga menjangkakan parti baru yang ditubuhkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak akan mampu untuk bertahan.

“Tidak ke mana pun parti baru yang ingin ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu, prosesnya bukan mudah dan matlamat parti itu juga tidak jelas.

“Biarlah Umno, sesama Islam demi masa depan yang lebih baik di negeri Johor daripada terus menjadi kuli ataupun khadam kepada DAP,” katanya memetik kenyataan Adun Pengkalan Batu dari Melaka, Norhizam Hassan Baktee yang pernah mengakui hanya menjadi 'barua' sewaktu bersama DAP.

Terdahulu, Sheikh Umar yang merupakan Adun Paloh berkata, meskipun kerajaan pusat diterajui Bersatu di bawah pimpinan presidennya Muhyiddin Yassin, di peringkat akar umbi di Johor ia hanyalah indah khabar daripada rupa.

Malah, jelasnya, kerjasama antara Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno dan PAS dengan Bersatu seperti tidak wujud di Johor.

Untuk mengukuhkan dakwaan itu, Sheikh Umar berkata, Bersatu tidak dijemput dalam satu program Hari Raya Aidiladha yang dihadiri menteri besar Hasni Mohammad  disertai ahli Umno dan PAS.

Menerusi kenyataan berasingan, Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfoz berkata dakwaan Bersatu dilayan seperti anak tiri di Johor sebagai tidak berasas.

Jelasnya, Sheikh Umar patut berasa malu kerana tuduhan tersebut telah dinafikan oleh Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang.

Ahmad Nawfal turut mengingatkan Adun DAP itu supaya tidak menjadi batu api dalam hubungan baik di antara PAS, Bersatu dan Umno di Johor.

“Saya ingin mengingatkan Syeikh Omar Ali agar berhenti dari menjadi batu api dan cuba untuk melaga-lagakan kerjasama baik yang berlaku diantara PAS, Umno dan Bersatu selaku tunggak utama kepada pentadbiran kerajaan Johor kerana itu usaha tersebut dilihat sia-sia dan hanya mengundang dosa,” katanya lagi.