Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tunjuk jari tengah pada polis: Juruteknik didenda RM1,000

Akibat menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah kepada pegawai polis, seorang juruteknik lelaki didenda RM1,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap R Vinotheran, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan isyarat lucah yang telah mengaibkan kehormatan Sub Insp Sukdev Singh Karnail Singh di Jalan Tunku Abdul Halim berhadapan dengan Istana Negara, di Kuala Lumpur pada 5 petang, 3 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya orang awam tidak menunjukkan isyarat lucah terhadap sesiapa sahaja, apatah lagi kepada pegawai penguatkuasa.

Vinotheran yang diwakili peguam P Suthes merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara ibu bapanya dan seorang kakak yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Kes curi daging wagyu 

Di mahkamah sama, seorang tukang masak Kevin Chin Ming Wei, 47, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000.

Ini selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri daging lembu jenis wagyu bernilai RM10,700 daripada sebuah restoran di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 8 pagi, 16 Julai lepas.

Aina Azahra turut memerintahkan Chin menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

- Bernama