AMK saran Armada lapor Wan Fayhsal ke SPRM
Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir mencadangkan pemimpin Pemuda Bersatu (Armada) membuat laporan kepada SPRM berhubung kenyataan kontroversi Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berkata dia sedia menggunakan kedudukan sebagai timbalan menteri untuk kepentingan politik.
Akmal berkata, dia percaya kenyataan yang dikeluarkan oleh calon ketua Armada itu berkaitan dengan pemilihan Bersatu.
“Saya rasa wajar diteliti dengan lebih lanjut. Malah, saya menyeru kawan-kawan dalam Armada di sebelah sana untuk membuat laporan secara rasmi kepada SPRM kerana ia melibatkan pemilihan mereka.
“Cuma dalam masa sama juga, calon yang mencabar mereka juga sebelum ni kantoi ataupun terdedah melobi surat jawatan di GLC.
“Jadi saya tak tahu siapa yang lebih hebat menggunakan surat sokongan ataupun surat permohonan ini,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Difahamkan Akmal merujuk kepada isu surat exco Armada Muzzammil Ismail kepada Menteri Besar Kedah yang meminta dirinya dipertimbangkan jawatan ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Semalam, dilaporkan bahawa Wan Ahmad Fayhsal berkata sebagai timbalan menteri, dia dapat "permudahkan" urusan untuk membantu ahli Armada melalui exco-exco yang dilantik kelak.
Kenyataan tersebut dirakam ketika Wan Ahmad Fayhsal berkempen bersama Armada Pahang bagi pemilihan calon ketua Armada yang dijadual berlangsung pada 27 September ini.
Mengulas lanjut kenyataan Wan Ahmad Fayhsal, ahli parlimen Johor Bahru itu berkata untuk memastikan tadbir urus baik, sekurang-kurangnya Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican sewajarnya memberi amaran kepada timbalannya berhubung isu tersebut.
Ini, katanya, memandangkan sikap tersebut adalah amat tidak sihat kepada belia terutama ketika rakyat berdepan dengan suasana Covid-19.
"Jadi dalam isu good governance ini saya mohon supaya paling kurang kalau perdana menteri tak berani tegur anak buah beliau, saya rasa paling kurang saya meletakkan kepada menteri belia dan sukan untuk reprimand him tak boleh menjual ataupun menggunakan kedudukan ini untuk kepentingan politik," katanya.
Sementara itu, dia turut mengulas mengenai isu berhubung dakwaan aduan kegiatan perjudian dan rokok seludul di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang tular dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
Menurut Akmal, pihaknya bersedia menawarkan bantuan guaman kepada pemilik akaun Facebook "Asri Janggut" kerana kini menjadi sasaran berhubung aduannya itu.
"Kami bersedia bersama-sama dan kalau perlu, khidmat guaman ketika siasatan atau sampai dituduh sebagainya, kita sedia membantu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai