Zahid sokong usaha tutup premis judi segera
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sokongannya terhadap tindakan penutupan premis judi dengan kadar segera di negara ini.
Pun begitu, sambil menyatakan rasa simpatinya kepada peniaga burger yang bertanggungjawab mendedahkan isu perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh beberapa hari lalu, Ahmad Zahid menyatakan sokongan yang diberikan itu adalah bersifat peribadi.
"Secara peribadi saya menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Bekas timbalan perdana menteri itu juga berkata, "mustahil" untuk peniaga burger itu melakukan fitnah semasa membuat pendedahan kegiatan tersebut beberapa baru-baru ini.
"Saya kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger.
"Mustahil dia buat fitnah. Kepentingan dia cuma mahu penguatkuasaan dijalankan secara berkesan," katanya.
Beberapa hari lalu tular satu klip video berkenaan dakwaan penguatkuasaan berat sebelah polis dan pihak berkuasa tempatan terhadap penjaja di Sungai Buloh, Selangor.
Rakaman kira-kira 13 minit itu, yang disiarkan di laman Facebook Hot Burger Malaysia dan setakat ini mendapat lebih empat juta tontotan dan 70,000 perkongsian.
Lelaki terbabit mendakwa berlaku pelaksanaan undang-undang yang tidak sekata di antara dia dan peniaga warga asing di kawasan tersebut.
Dia juga mendakwa kegiatan perjudian tanpa lesen dijalankan di situ tanpa tindakan daripada polis.
Susulan pendedahan itu polis melakukan serbuan terhadap kegiatan perjudian di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar, dua lelaki warga Bangladesh turut ditangkap dalam operasi itu.
“Terdapat beberapa premis yang diserbu berkunci dan dipercayai telah lama tidak beroperasi.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian atau penyeludupan diminta untuk terus menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya seperti dipetik Bernama, semalam.
Ahmad Zahid berkata aktiviti judi tanpa lesen sedang berleluasa dan yang menjadi mangsa adalah golongan berpendapatan rendah tetapi mahu cepat kaya.
"Akhirnya mereka merana," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai