Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MP dari kawasan Temco, PKP perlu buat ujian saringan

PARLIMEN | Susulan wujudnya kluster baru Covid-19 yang mungkin berpunca daripada perebak utama (super spreader), atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua anggota parlimen yang baru pulang daripada kawasan terlibat perlu menjalani ujian saringan sebelum boleh menghadiri sidang.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata anggota parlimen yang terlibat ialah mana-mana yang datang dari Kawasana Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Kawalan Pergerakan Pegerakan Peningkatan Sasaran (Temco), separa PKPD dan PKPD tempatan.

“Mana-mana ahli yang berhormat pulang ke kawasan yang merupakan kawasan-kawasan tersebut, maka mengikut arahan KKM perlu dibuat ujian (Covid-19) semula sebelum datang ke dewan.

“Saya minta whip parti semua memberi penekanan kepada ahli-ahli yang berhormat berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat sebelum sesi persidangan bermula hari ini.

Dia berkata, arahan itu juga termasuk kepada sesiapa yang bergejala atau diletakkan sebagai kes PUI (individu dalam siasatan), PUS (individu dalam pengawasan) dan yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

Sebelum ini, KKM menyuarakan kebimbangan bahawa kluster Sivagangga - yang bermula di Kedah - ada kaitan dengan genom Covid-19 dikenal pasti sebagai perebak utama di Mesir dan Pakistan.

Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya mendapati kluster tersebar "sangat cepat" berbanding kluster lain di negara ini.

Azhar berkata sebagai langkah berjaga-jaga dalam penularan Covid-19 dan memastikan persidangan terus berjalan lancar, maka saya ingin menyarankan kumpulan berikut membuat ujian Covid-19.

Dia turut memaklumkan pemakaian pelitup separuh muka diwajibkan setiap masa dalam Dewan Rakyat dan hanya boleh dibuka hanya sekiranya mereka hendak berucap.

“Yang akhir sekali, seperti yang diarahkan oleh pegawai berkuasa, iaitu kumpulan berisiko memerlukan mass screening (saringan massa) dan targeted approach (pendekatan bersasar).

“Adalah penting untuk mematuhi SOP fasa pemulihan di Malaysia dan pastikan mereka yang bergejala tidak menghadiri parlimen dan pergi ke fasiliti berhampiran untuk ujian Covid-19,” katanya.