Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dusuki saman ketua pemuda Amanah Kelantan RM1 juta

Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, kerana didakwanya memfitnah.

Dalam satu notis tuntutan itu, Ahmad Dusuki melalui peguamnya menuntut ganti rugi RM1 juta daripada Hazmi susulan satu kandungan video di laman You Tube pada 15 Julai lalu.

Firma guaman yang diambil Ahmad Dusuki, Srihana Mohamad & Partners, menyatakan mereka diarahkan untuk menyatakan bahawa kandungan video berkenaan berisi kenyataan fitnah.

"Kami telah diarahkan oleh anak guam kami untuk menyatakan bahawa keseluruhan video yang dibuat mengandungi kata-kata fitnah secara langsung, tersirat dan innuendo sedangkan apa yang dibangkitkan anak guam kami adalah benda yang benar.

"Kami diarahkan oleh anak guam kami bahawa dalam maksud yang biasa kata-kata kamu memberi maksud bahawa anak guam kami adalah pemfitnah, pembohong, pendusta dan tidak layak digelar ustaz dan bermacam-macam lagi maksud jelik," tulis notis itu yang dilihat Malaysiakini hari ini.

Menurut notis itu lagi, Hazmi dituntut membuat permohonan maaf melalui tulisan dalam akhbar Sinar Harian, Harakah, Utusan Malaysia dan Berita Harian selama tiga hari berturut-turut.

Hazmi juga dikehendaki menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada Ahmad Dusuki di YouTube dan Facebook dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat berkenaan.

"Dalam masa yang sama kamu juga hendaklah membayar ganti rugi sebanyak RM1 juta kerana tercemarnya reputasi anak guam kami.

"Kamu juga dikehendaki menulis sesalinan surat permohonan maaf kepada anak guam kami dan mengakui tidak akan mengulangi perbuatan seumpama ini ke atas anak guam kami," jelas notis tersebut.

Untuk rekod kandungan video YouTube dimuat naik itu antara lain mengulas mengenai dakwaan yang dibuat oleh Ahmad Dusuki mengenai Lembaga Tabung Haji semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Dia mendakwa Ahmad Dusuki memfitnah antaranya menyentuh berkenaan aset Tabung Haji yang dijual kepada orang bukan Islam.

Sementara itu Hazmi ketika dihubungi Malaysiakini berkata dia sudah mengadakan perbincangan dengan peguam.

"Saya sudah bincang dan dengar nasihat daripada pihak peguam. Justeru, saya bersedia untuk berdepan dengan tuntutan Ahmad Dusuki di mahkamah," katanya.