Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Timbalan menteri tawar tukar wang palsu RM50 dengan wang betul

PARLIMEN l Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah hari ini menawarkan untuk menukar wang kertas palsu RM50 milik seorang anggota parlimen dengan wang yang betul.

Garis panduan Bank Negara menyebut bahawa wang palsu tidak boleh ditukar dengan wang yang betul atau sebenar. Penukaran itu juga merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Tawaran Shahar itu dibuat susualan aduan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mengadu semasa sesi soalan lisan  bahawa dia telah menerima wang kertas RM50 palsu di pasar malam, dan mendakwa ini adalah bukti bahawa peredaran wang palsu adalah meluas.

“Sila kemukakan wang ringgit RM50 yang YB ada, kita akan tukar kepada wang ringgit yang benar,” kata timbalan menteri itu.

Dr Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) kemudian tampil menyoal, apakah menukar wang palsu dengan yang sebenarnya dibenarkan oleh Bank Negara.

Shahar menjawab dengan berkata perkara itu diberitahu secara "peribadi".

Shahar: Satu perkara yang saya beri tahu secara personal.

Xavier: Ini parlimen mana ada personal?

Speaker Azhar Harun: Kita kena adil dia tak sebut pun tadi (Sama ada ini pendirian Bank Negara atau peribadinya).

Shahar: Saya tak sebut pun (ini adalah pendirian Bank Negara). Saya rasa Kuala Langat ingin tanya berkaitan prosedur Bank Negara, bila saya beritahu, sudah pasti saya bertanggung jawab apa yang saya sebut, saya harap YB Kuala Langat pun bertanggungjawab apa yang dia sebut.

Shahar kemudian duduk dan sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan soalan seterusnya.

Mengikut garis panduan di laman web Bank Negara, penerima wang palsu diminta untuk memaklumkan dan menyerahkan nota palsu berkenaan kepada polis.

[Baca berita penuh]