Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengawal keselamatan Nepal yang dipukul dalam video tular ditahan

KEMAS KINI 9.00 pagi:  Berita ini sudah dikemas kini dengan respons pihak polis berhubung penahanan itu.


Seorang pengawal keselamatan warga Nepal yang dirakam dipukul lelaki lain dalam klip video tular baru-baru ini dilaporkan ditangkap polis.

Peguamnya, Sumitha Shaanthinni Kishna, berkata dia menemami pengawal keselamatan berkenaan untuk memberi keterangan berkejaan insiden tersebut di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju kira-kira jam 4 petang tadi.

Turut menyertai kunjungan berkenaan, katanya, ialah seorang pegawai dari Kedutaan Nepal yang bertindak sebagai jurubahasa.

"Kemudian pengawal keselamatan itu ditahan polis Kuala Lumpur untuk siasatan berhubung satu laporan lain yang dibuat ke atasnya oleh pihak ketiga," kata Sumitha dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Wangsa Maju, Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan itu.

"Dia ditahan oleh pegawai dari bahagian D11 polis Kuala Lumpur," katanya.

Rajab bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan polis yang dibuat terhadap mangsa.

Untuk rekod, D11 adalah bahagian di bawah Jabatan Siasatan Jenayah yang pakar dalam menyiasat jenayah seksual dan penderaan rumah tangga.

Akhir bulan lalu tular klip video menunjukkan seorang pengawal keselamatan diherdik serta dipukul beberapa kali oleh seorang lelaki. Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan parkir kereta sebuah kondominium di Wangsa Maju.

Malaysiakini

Seorang lelaki yang disyaki memukul warga asing itu - dikatakan warga Nepal walaupun dalam klip video itu bercakap bahasa Melayu - juga ditahan pada 3 Ogos.

Kedutaan Nepal ketika itu memberitahu mereka sudah berhubung dengan penyerang dan mangsa. Kedutaan itu juga berkata kedua-dua individu terbabit tidak memiliki dokumen yang sah.