Menteri perpaduan: RUU Suruhanjaya Keharmonian tak diteruskan
PARLIMEN | Rang Undang-Undang berkaitan Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional bagi menangani isu sentimen perkauman tidak akan diteruskan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani isu berkaitan agama dan kaum ketika ini.
Beliau berkata hasil penelitian mendapati kebanyakan fungsi yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu bertindih dengan akta serta peraturan sedia ada.
“Oleh kerana banyak berlaku pertindihan, kerajaan putuskan tidak berhasrat untuk menggubal satu lagi undang-undang (Rang Undang-Undang Suruhanjaya Keharmornian dan Rekonsiliasi Nasional) baharu yang dikatakan adil dan lengkap kerana akta sedia ada sudah mencukupi.
“Negara sudah pun ada undang-undang yang mencukupi untuk menjaga keharmonian antara kaum dan agama, mereka yang sengaja memecahbelahkan perpaduan serta keharmonian boleh disiasat dan didakwa di bawah akta-akta itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu.
Antara peraturan sedia ada ialah Akta Hasutan 1948 (Akta 15); Seksyen 504, Seksyen 505 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Peranan serta fungsi yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu akan diselaras dan diguna pakai sebagai mekanisma pelaksanaan di bawah Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), katanya.
Menyentuh isu perobohan kuil Hindu di Kedah, Halimah mengingatkan semua pihak khususnya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil iktibar daripada isu itu untuk melaksanakan tugas serta tindakan dengan lebih efisien bagi mengelak insiden sama berulang.
Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara beliau menyeru seluruh rakyat agar menghayati dan mengamalkan kesemua prinsip tersebut dalam kehidupan seharian.
“Jika dukung sahaja tak cukup, kita perlu hayati dan sertai dengan mengamalkannya melalui tingkah laku dan percakapan,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai