Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bayaran balik PTPTN ditangguh hingga Disember 2020

Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam bagi tempoh tiga bulan lagi mulai 1 Okt sehingga 31 Dis 2020.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata penangguhan itu melibatkan anggaran jumlah bayaran balik sebanyak RM375 juta, dan dengan ini jumlah keseluruhan anggaran penangguhan bayaran balik adalah sebanyak RM1.13 bilion.

“PTPTN juga membantu mengurangkan bebanan atau komitmen bayaran balik pinjaman dengan sentiasa terbuka untuk membuat rundingan bagi menstruktur semula bayaran balik pinjaman sehingga umur 60 tahun dan menangguh balik bayaran pinjaman sehingga maksima 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan berasingan mengenai isu sama, Noraini berkata semua peminjam PTPTN akan diberikan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan sebagaimana pelaksanaan penangguhan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya terdapat peminjam yang ingin meneruskan bayaran balik pinjaman, mereka boleh berbuat demikian melalui saluran bayaran balik secara dalam talian yang telah disediakan.

Sementara itu, Noraini berkata kerajaan turut berpandangan pelaksanaan kaedah bayaran balik berdasarkan pendapatan belum sesuai untuk dilaksanakan dengan mengambil kira jumlah bayaran balik berbanding jumlah pinjaman yang masih belum berbayar.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang bangun mencelah ketika penggulungan itu yang ingin tahu sama ada kerajaan akan meneruskan skim pembayaran balik PTPTN selepas peminjam berpendapatan melebihi RM4,000 sebulan.

Noraini berkata kaedah potongan gaji berjadual mengikut kadar ansuran bulanan yang sedia ada dikenal pasti sebagai satu kaedah lebih sesuai dilaksanakan bagi memastikan proses kutipan bayaran balik yang lebih mudah dan efisien.

“KPT mengambil kira situasi ekonomi dan kedudukan kewangan semasa. Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengenal pasti pendekatan terbaik bagi bayaran balik pinjaman yang tidak membebankan peminjam …tetapi dalam masa yang sama kita akan menjaga kepentingan PTPTN, kena seimbang,” katanya.

-Bernama