Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Gelang pink’ kedai haiwan disangka gelang kuarantin

Sepasang kekasih yang gambar mereka tular di media sosial kerana memakai “gelang pink” dan berada di kawasan letak kenderaan Bukit Bendera di George Town pada Ahad lepas bukan pesakit di bawah pengawasan (PUS) COVID-19.

Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata siasatan polis mendapati mereka dipakaikan gelang berwarna merah jambu berkenaan oleh pembantu jualan sebuah kedai haiwan peliharaan di New World Park di George Town pada hari kejadian.

Pasangan berkenaan memaklumkan mereka juga tidak pernah ke luar negara dan semakan dengan Kementerian Kesihatan mendapati nama kedua-duanya tiada dalam senarai PUS atau diarahkan menjalani kuarantin di rumah, katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas kejadian itu, Soffian berkata susulan laporan polis yang diterima daripada seorang individu, pihaknya bertindak mengesan pasangan terbabit yang kemudian dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 21 tahun yang tinggal di Permatang Tengah, Butterworth dan teman wanitanya yang berusia 22 tahun yang menetap di Sungai Puyu, Butterworth.

"Pasangan kekasih itu mendakwa ke kedai haiwan peliharaan di New World Park, di sini pada 12.30 tengah hari Ahad dan dipakaikan tag atau gelang tangan berwarna pink dengan tulisan 'Husky And The Gang' oleh pekerja kedai terbabit," katanya.

Beliau berkata disebabkan pasangan tersebut ingin kembali ke kedai haiwan itu pada sebelah malam, mereka tidak menanggalkan gelang berkenaan bagi mematuhi syarat yang telah ditetapkan sebelum ke Bukit Bendera.

- Bernama