Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri: Nadma hanya urus, bukan cegah banjir

Peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hanya untuk menguruskan banjir ketika berlaku, sebaliknya bukan untuk mencegah bencana tersebut.

Tampil menjelaskan peranan agensi itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata, agensi itu hanya berfungsi sekiranya berlaku sesuatu bencana.

Namun, dia memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Nadma masih dapat mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa tinggi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), "berdasarkan pengalamannya".

"Peranan Nadma hanya untuk menguruskan bencana. Oleh itu, ia hanya berfungsi semasa berlaku bencana, dan jika ada bencana yang lebih besar, ia (pengurusan) akan dibawa ke peringkat MKN.

“Kami (Nadma) tidak terlibat (dalam mencegah). Kami dapat menyarankan berdasarkan pengalaman kami dalam menghadapi banjir, ” katanya.

Mohd Redzuan Md Yusof 

Tambahnya, agensi itu membincangkan penyelesaian pengurusan air yang lebih baik, termasuk idea untuk menggunakan teknologi negara lain termasuk Amerika Selatan bagi mencegah berlakunya banjir berulang.

Bagaimanapun jelasnya, agensi itu boleh mencadangkan dan membincangkan kaedah pencegahan dengan MKN.

Mohd Redzuan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang menegaskan Nadma perlu fokus terhadap pengurusan pencegahan banjir berulang.

"Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Nadma sebagai badan pengurusan bencana untuk menguruskan dan mengelak daripada berlaku (bencana) seperti banjir khususnya?" soalnya di Parlimen, hari ini.

 Mahfuz Omar 

Sementara itu Mohd Redzuan yang juga anggota parlimen Alor Gajah berkata, kerajaan membeli 20,000 khemah tertutup (patuh syariah) untuk digunakan mangsa banjir sebagai tempat pelindungan sementara.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS- Pasir Mas) berhubung persediaan garis panduan pengurusan dan penempatan mangsa banjir yang patuh syariah.

Untuk itu menteri tersebut yakin semua prosedur operasi standard (SOP) patuh syariah dan juga “inklusif” melibatkan semua agama.