Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis tahan tiga beranak disyaki dera pembantu rumah

Polis menahan tiga beranak disyaki mendera pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Desa Pantai 2, Pantai Remis, dekat Manjung, kira-kira 78 kilometer dari Ipoh, Perak pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak SAC Anuar Othman berkata wanita berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan ringan dipercayai didera majikannya berumur 52 tahun serta dua anaknya masing-masing berumur 23 dan 17 tahun.

Beliau berkata suspek wanita yang merupakan majikan kepada mangsa sejak Ogos 2019 bersama anak-anaknya itu ditahan selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menyelamatkan mangsa pada pukul 8.45 malam, 1 Ogos lepas.

“Mangsa dilaporkan tidak dibayar gaji sepanjang tempoh dia bekerja selain dikurung di dalam rumah serta dipaksa bekerja setiap hari selain pernah cuping telinganya hampir putus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga Khamis ini dan mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan sementara menunggu siasatan lanjut.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

- Bernama