Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tindakan PBT terhadap premis kluster Sivagangga perlu dibincang di MKN - Zuraida

Sebarang tindakan yang mahu diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap restoran di Napoh, Kedah yang pemiliknya melanggar perintah kuarantin wajib perlu dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Katanya ini kerana perkara berkaitan Covid-19 tertakluk di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Tindakan kepada pemilik restoran yang melanggar perintah kuarantin itu yang perlu diambil, tetapi premis itu benda berbeza," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program korban Aidiladha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat JBPM, di Putrajaya hari ini.

Beliau ditanya sama ada PBT boleh mengambil tindakan termasuk menutup premis yang dimiliki seorang lelaki iaitu kes indeks Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga yang melanggar perintah kuarantin di rumah dengan membuka restorannya sejurus pulang dari India.

Dilaporkan seramai 20 orang daripada kluster itu disahkan positif Covid-19 setakat ini.

Selain itu, kerajaan juga hari ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran melibatkan empat mukim bagi mengekang penularan daripada kluster tersebut selain bakal menyaksikan kira-kira 7,000 penduduk akan menjalani saringan Covid-19.

- Bernama