Insiden feri Koh Samui: Operasi cari mangsa diteruskan
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat orang yang hilang dari sebuah feri yang karam berdekatan pulau pelancongan popular di Koh Samui, Thailand pada Sabtu malam diteruskan hari ini.
Feri Raja 4 itu membawa 12 anak kapal dan empat pemandu - tiga lori roda 10 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan sampah - karam ketika laut bergelora setelah meninggalkan pelabuhan Koh Samui kira-kira pukul 10 malam (waktu tempatan).
Sembilan diselamatkan berhampiran kapal manakala dua lagi diselamatkan berhampiran sebuah pulau berdekatan pada Ahad. Mayat seorang kapten dijumpai pada Ahad petang.
Pejabat Pencegahan dan Mitigasi Bencana Surat Thani berkata SAR oleh pasukan tentera laut, polis dan pasukan penyelamat tempatan kembali beroperasi pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini.
"Pasukan mencari telah menemukan tempat kapal itu karam," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Laut Witthaya Yamuang berkata sebuah panel telah dibentuk untuk menyiasat kejadian tersebut.
Menurutnya laporan akan dikeluarkan dalam tempoh 15 hari.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai