Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya orang muda perlu tunjuk hormat kepada insan lebih tua, kata Azmin

Di sebalik persendaan dan kecaman dibuat sesetengah orang terhadap Azmin Ali yang dilihat bergegas mahu menyapa bekas bosnya, Dr Mahathir Mohamad, di masjid baru-baru ini, menteri kanan terbabit mempunyai alasan tersendiri bertindak begitu.

Kata Azmin dia bertindak menyapa Mahathir atas semangat menghormati orang yang lebih tua.

"Saya orang muda perlu tunjuk hormat kepada insan yang lebih tua," katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian selepas menghadiri majlis Korban Perdana Penggerak Komuniti Negara Kedah di Dewan Taman Mahsuri, Padang Serai, hari ini.

Sejak sehari dua lalu tular klip video pendek menunjukkan Azmin yang bergegas menyapa Mahathir ketika kedua-dua berada di Masjid Putra, Putrajaya untuk menyertai solat Aidiladha.

Turut kelihatan ialah seorang lagi menteri kanan, Dr Radzi Jidin.

Selain klip video, gambar kejadian itu juga tular di media sosial apabila semasa Azmin dan Radzi berada di sebelah Mahathir, tangan kanan perdana menteri ketujuh Malaysia itu kelihatan digenggam.

Untuk rekod Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri - dan kemudian membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan - selepas Azmin dan beberapa pengikut setianya meninggalkan PKR.

Muhyiddin Yassin pula membawa Bersatu meninggalkan PH di sebalik mandat yang diberikan rakyat Malaysia untuk menjadi kerajaan menggantikan BN.

Azmin berkata sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia, masyarakat tidak harus bermusuhan sehingga menyimpan dendam antara satu sama lain.

"Mungkin kita ada pandangan yang berbeza tetapi apabila di dalam masjid dan apa lagi pada hari raya, maka kita harus bertegur sapa dan mengucapkan selamat kepada beliau," katanya.

Azmin - yang dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri oleh Muhyiddin - turut menarikan tindakannya itu mempunyai motif politik.

Sebaliknya kata Azmin, dia hanya mahu menunjukkan rasa hormat dan bertanya khabar saja.

Dia juga meminta agar insiden itu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.