PN perlu lanjut moratorium, henti bazir wang untuk kudeta - Lim
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) agar berhenti membazir wang untuk rampasan kuasa politik menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri PH dan sebaliknya melanjutkan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi.
"DAP berasa amat kecewa dengan keengganan Kerajaan PN untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi apabila moratorium tersebut tamat pada 30 September 2020 meskipun langkah tersebut akan membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Tiada sebarang sebab diberikan oleh Muhyiddin Yassin mengapa kerajaan tidak melanjutkan moratorium tersebut.
"DAP menyeru Muhyiddin Yassin agar berhenti membazir wang untuk rampasan kuasa politik menjatuhkan kerajaan-kerajaan negeri PH/ Warisan dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelebaran bantuan kewangan kepada perniagaan-perniagaan kecil, gaji pekerja, dan melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan lagi demi menyelamatkan perniagaan-perniagaan kecil daripada muflis dan pemberhentian pekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata kos melanjutkan moratorium adalah kecil berbanding manfaat yang akan diperoleh.
Pihak bank dilaporkan kerugian RM6.4 bilion sejak pelaksanaan moratorium 6 bulan tersebut.
"Namun, ini merupakan pengorbanan yang kecil di pihak industri perbankan memandangkan industri tersebut telah mendapat keuntungan selepas cukai berjumlah RM32 bilion pada tahun 2019," jelasnya.
Menurut Lim, keuntungan selepas cukai RM32 bilion tersebut sepatutnya membolehkan pihak bank membiayai kos RM6.4 bilion sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk melanjutkan moratorium pinjaman bank selama 6 bulan tambahan bagi membantu pelanggan mereka mengharungi krisis ekonomi Covid-19.
"Jika pihak bank tidak rela membiayai kos RM6.4 bilion tersebut, kerajaan persekutuan patut menanggung kos RM6.4 bilion demi membantu 7.7 juta orang peminjam dan 245,000 PKS," katanya lagi.
Indah khabar dari rupa
Kos sebanyak RM6.4 bilion itu, kata Lim sebenarnya satu jumlah yang kecil berbanding puluhan bilion ringgit pinjaman tambahan oleh kerajaan di atas apa yang sudahpun diperuntukkan dalam Belanjawan 2020 bagi membiayai pakej ransangan ekonomi Covid-19.
Bekas menteri kewangan itu juga berkata kegagalan kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank akan menyebabkan pakej ransangan ekonomi Prihatin bernilai RM295 bilion itu dapat dilihat sekadar 'indah khabar dari rupa.'
Ini jelas Lim lagi, hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja dan bukan kepada rakyat biasa dan PKS.
Tambahnya, tiada sebarang penambahan diberikan untuk Geran Khas Prihatin (GKP) RM2.1 bilion di mana RM3,000 telah diberikan kepada 700,000 PKS.
"Tapi, sekurang-kurangnya 155,000 PKS mikro yang berkelayakan gagal memohon GKP dalam tempoh yang diperuntukkan.
"Oleh itu, kerajaan sepatutnya menambah RM1 bilion lagi untuk GKP.
"Selain itu, Program Subsidi Upah juga tidak dilanjutkan sehingga Mac 2021 bagi membantu pekerja Malaysia.
"Dengan peningkatan mendadak kadar pengangguran sehingga 5.3 peratus, di mana ada 830,000 pekerja menganggur, pelanjutan program ini perlu dilaksanakan sekarang juga untuk menyelamatkan pekerjaan bagi rakyat Malaysia. Kerajaan patut membantu mengekalkan pekerjaan rakyat dan bukan hanya membantu selepas rakyat kehilangan kerja," katanya.
Lim pada 18 Julai lalu telah pun mendesak kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi untuk menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan.
Pada 29 Julai, Muhyiddin mengumumkan pelepasan pinjaman, yang telah dirundingkan oleh kerajaan dengan bank, akan beralih kepada pendekatan bersasar ketika moratorium pinjaman berakhir.
Moratorium, yang bermula pada 1 April dan akan berakhir pada 30 September itu membolehkan peminjam menangguhkan pembayaran pinjaman mereka dalam tempoh tersebut.
Selepas 30 September, masyarakat umum diminta untuk membayar balik pinjaman mereka tetapi beberapa pelepasan yang disasarkan akan disedikan untuk segmen masyarakat tertentu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai