Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MKN: Mesej tular tentang SOP perkongsian kereta palsu

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan mengeluarkan arahan agar individu yang berkongsi kereta dengan orang lain dari rumah yang berbeza perlu memakai topeng dan mengamalkan penjarakan sosial.

MKN berkata demikian susulan penularan mesej teks di WhatsApp yang kononnya merupakan prosedur operasi standard (SOP) perkongsian kereta baru.

Penularan mesej itu berlaku ketika timbul kebimbangan daripada orang ramai berikutan pelaksanaan pelitup separuh muka yang diwajibkan mulai hari ini.

Mesej tersebut turut mengaitkan talian hotline Pusat Pengurusan Operasi Nasional.

Penulis pengirim mesej itu mengatakan bahawa dia telah membuat pengesahan dengan pegawai yang berurusan dengan hotline mengenai perkara tersebut.

Dalam kenyataan di media sosial, MKN memuat naik tangkap layar mesej dengan cap "palsu".

Menurut mesej palsu itu, mereka yang melakukan perjalanan sendirian atau menaiki kereta bersama dengan individu berasal dari rumah yang sama, dengan MyKad menunjukkan alamat yang sama, tidak perlu memakai pelitup separuh muka.

Mesej palsu itu mengatakan bahawa pemandu dan penumpang dari rumah yang berbeza, tidak hanya perlu memakai topeng tetapi juga harus menjaga jarak sosial.

Mesej palsu itu juga mendakwa bahawa hanya dua orang yang dibenarkan dalam kereta kecil seperti Perodua Axia.

Ia juga menyentuh tentang SOP di kedai-kedai makan, kononnya individu yang menjamu selera mesti terus memakai pelitup muka sementara menunggu makanan dan minuman dan segera memakainya semula setelah makan dan minum.

Walaupun MKN menafikan mesej itu, polis dilaporkan menasihati mereka yang makan terus memakai topeng sehingga makanan tiba.

Dalam satu kenyataan hari ini, MKN mengatakan pemakaian pelitup muka adalah wajib di pengangkutan awam dan kawasan awam yang sesak seperti pasar tani, pasar raya, taman rekreasi dan destinasi pelancongan.

Bagaimanapun, kanak-kanak di bawah umur dua tahun, orang kurang upaya dan individu yang tidak boleh memakai pelitup muka sendiri, tidak wajib memakainya.

MKN juga membenarkan orang ramai memakai pelitup muka kain sesuai dengan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Individu yang melanggar perintah itu akan dikenakan denda RM1,000.