Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRN Sabah: Perlu menang besar atau keadaan kembali asal

Sabah akan terus diselubungi krisis politik kecuali jika pemenang pada pilihan raya negeri itu memperoleh kemenangan dengan majoriti yang meyakinkan, kata beberapa penganalisis.

Untuk mana-mana parti menang besar adalah satu cabaran yang sukar, namun, kemunculan parti-parti yang belum diuji di negeri ini seperti Bersatu kemungkinan akan memecahkan undi dalam pertandingan pelbagai penjuru.

Bercakap kepada Malaysiakini, pemerhati politik dari Universiti Tasmania, James Chin menyifatkan pilihan raya negeri Sabah akan datang sebagai “free for all”.

"Pada tahun 2018, hanya ada dua gabungan besar - BN dan persefahaman antara Warisan dan Pakatan Harapan, jadi kebanyakan kerusi (yang dipertandingkan) adalah satu lawan satu.

"Sekarang, ada semacam banyak parti, malah di peringkat persekutuan tidak begitu jelas apakah perubahan itu dari BN ke Muafakat Nasional. Dan di peringkat akar umbi, ini begitu samar-samar.

"Jadi ini bermakna semua akan mencuba nasib mereka, akan ada lebih banyak calon kali ini," kata Chin.

Namun, dengan dua gabungan besar pada PRU14, tidak ada satu pun yang muncul sebagai pemenang yang jelas. Sejurus selepas pilihan raya, BN dan Warisan-PH menemui jalan buntu dengan masing-masing mempunyai 29 kerusi.

Hari-hari berikutnya menyaksikan Star berpihak kepada BN, yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri dan Adun Sungai Sibuga Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri untuk penggal keempatnya.

Musa kemudian hilang jawatannya setelah Upko dan enam Adun BN berpaling tadah kepada Warisan-PH. Ini membolehkan Adun Senallang Shafie Apdal menjadi ketua menteri baru sebagai gantinya.

Sejak PRU14, Bersatu telah menjejakkan kaki di Sabah. Ia mempunyai sembilan Adun sebelum DUN dibubarkan.

Sementara itu, bekas menteri luar dan adik Musa, Anifah Aman baru-baru ini mengumumkan dia akan kembali ke arena politik sebagai pemimpin Parti Cinta Sabah.

Selain daripada penyertaan baru ini, pensyarah kanan kajian politik dan kerajaan Universiti Malaysia Sabah (Unimas) Arnold Puyok menjangkakan calon bebas juga akan bertanding.

"Mereka akan memecah undi.

"Ada kemungkinan pengundi akan mencari alternatif daripada parti-parti sekarang ... kerana mereka tidak terlibat dalam isu pembelotan dari Warisan atau BN ini," katanya kepada Malaysiakini.

"Penilaian saya sekarang adalah ada kemungkinan kita akan kembali kepada asal.

"Seperti yang kita alami dalam pilihan raya lalu, parti kecil dan parti baru boleh menjadi penentu (selepas pilihan raya)," kata Puyok.

Chin juga meramalkan lebih banyak pembelotan kecuali jika pemenang dapat memperoleh lebih dari dua pertiga majoriti dalam DUN Sabah yang mempunyai 60 kerusi.

"Senario mimpi buruk bagi Sabah akan berulang jika keputusan tidak konklusif seperti pada tahun 2018, maka ada akan melompat lagi.

"Jadi keputusan terbaik yang kita harapkan pada pilihan raya ini adalah keputusan yang jelas, sekurang-kurangnya kelebihan 10 kerusi, misalnya," katanya.

[Baca berita penuh]