Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PAS Melaka mahu sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen

PAS Melaka berharap mereka akan diperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata mereka melihat kerusi Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu merupakan antara yang berpotensi.

“Yang pasti bukan kerusi Alor Gajah kerana di situ dianggap tidak berpotensi untuk PAS berbanding Parlimen Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Pada pilihan raya umum 2018, PAS meletakkan calon untuk semua kerusi berkenaan dan satu lagi kerusi iaitu Masjid Tanah.

PAS kalah di kelima-lima kerusi berkenaan. Hanya wakil BN dan Pakatan Harapan yang memberi saingan sengit ketika itu.

Untuk rekod, PAS tidak pernah memenangi kerusi parlimen di Melaka sebelum ini.

Kamaruddin berkata pilihan PAS di Hang Tuah Jaya, Jasin dan Tangga Batu adalah berdasarkan jumlah keahlian tempatan dan jumlah aktiviti di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, kata Kamaruddin, keputusan muktamad masih terletak pada kepemimpinan peringkat nasional.

Katanya, PAS Melaka telah mengenal pasti calon dengan latar belakang profesional untuk pertimbangan pemimpin tertinggi parti.

“Sudah pasti calon itu berpengalaman luas dan kalangan profesional kerana bagi kerusi Parlimen pemilihan disaring ketat oleh PAS Pusat dan jika menang ada kemungkinan ditarik ke kabinet,” katanya.

Sementara itu, Kamaruddin mengesahkan bahawa rundingan kerusi hanya berpusat pada kerusi parlimen buat masa ini.