Keahlian Adun Warisan paling tadah gugur serta-merta
Semua wakil rakyat Warisan yang meninggalkan parti kerana menyokong bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dianggap telah ‘memecat’ diri mereka sendiri daripada parti itu dan oleh yang demikian, tidak ada tindakan lanjut akan diambil.
Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua berkata selaras dengan perlembagaan parti, keahlian semua Ahli Dewan Undangan Negeri terbabit adalah terbatal secara automatik apabila mereka menyertai organisasi politik lain.
“Dalam kes ini, mereka dianggap telah menyertai Musa dan komplotnya untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah.
“Mereka telah dilihat di kediaman Musa dan tidak seorang pun yang menafikan penglibatan mereka,” menurutnya dalam kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.
Padua berkata berdasarkan Perkara 3.3 Perlembagaan Parti Warisan Sabah, keahlian adalah terhenti serta-merta apabila seseorang individu “menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain dalam negara.”
“Parti Warisan Sabah tidak berhasrat untuk menerima kembali kesemua pembelot ini. Mereka telah memutuskan hubungan dengan parti dan kami mendoakan yang terbaik untuk mereka pada masa hadapan,” katanya.
Pada Rabu, Musa yang menerajui Umno di Sabah berkata beliau telah memperoleh majoriti mudah untuk menggulingkan kerajaan negeri pimpinan parti Warisan dan membentuk kerajaan negeri yang baru.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai