Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Keputusan Dr M tolak kerjasama dengan Umno tepat'

Keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk menolak bekerjasama dengan Umno tepat, kata Exco Agama Pemuda (Armada) Bersatu Abu Hafiz Salleh Hudin, susulan pengumuman Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

"(Kenyataan Zahid) menimbulkan persoalan, apakah asas penyertaan Umno ketika Langkah Sheraton dan pembentukan kerajaan PN awal Mac lalu?

"Keputusan kumpulan Mahathir menolak gabungan itu setakat ini dilihat tepat berdasarkan prinsip dan integriti," katanya kepada Malaysiakini.

Abu Hafiz, yang dilihat sebagai antara penyokong Mahathir, juga membangkitkan kenyataan itu yang dibuat beberapa hari selepas keputusan mahkamah yang menyabitkan Najib Razak bersalah dalam kes SRC International.

"Sama ada persoalan seperti ini dijawab atau tidak oleh pimpinan Umno, rakyat mampu membaca niat awal mereka membantu Muhyiddin dan kumpulan Azmin Ali ke Putrajaya," katanya lagi.

Dalam sidang media hari ini, Zahid berkata keputusan untuk tidak menyertai PN secara rasmi diputuskan Majlis Tertinggi Umno pada mesyuarat 24 Julai lalu.

Dia berkata, Umno akan terus mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan sokongan kepada PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.

Ulya Aqamah

Dalam pada itu Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamudin, yang juga dilihat sebagai penyokong Mahathir, menyifatkan perkembangan itu menunjukkan Umno ingin menguasai gabungan politik yang dianggotainya.

Berhubung kemungkinan Bersatu akan menyertai MN, dia berkata jika perkara itu berlaku, ia bermaksud bersatu tidak lagi mengetuai kerjasama politik yang membentuk kerajaan persekutuan.

"Bersatu akan lebih bermasalah sewaktu proses pengagihan kerusi, jelas bahawa parti akan terpaksa menurut kehendak MN," katanya lagi.

Dia juga berkata sebarang keputusan seumpama itu perlu melalui mesyuarat agung tahunan ataupun khas.

Abu Hafiz pula menyifatkan Bersatu berdepan masa depan yang sukar jika menyertai MN.

"Melainkan kumpulan Muhyiddin kembali menjadi ahli Umno. Tetapi apa kedudukan mereka nanti, ahli biasa atau MT?

"Kebencian sebahagian pemimpin kanan dan anggota Parlimen Umno serta akar umbi terhadap Bersatu akan menjadi penghalang (mereka)," katanya lagi.

Terdahulu hari ini, sumber yang dipetik Malaysiakini berkata Bersatu setuju untuk menyertai MN, ketika pertemuan antara Muhyiddin dengan anggota Parlimen Umno dan PAS semalam.

Zahid turut menyebut tentang pertemuan itu dan berkata Jawatankuasa Induk MN akan mempertimbangkannya.

Bagaimanapun Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Redzuan Md Yusof menafikan Bersatu membuat permohonan untuk menyertai gabungan itu, sebaliknya dijemput untuk menyertainya.