Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahasiswa kecewa PN tak teruskan usaha mansuhkan Auku

Sebanyak 27 kesatuan dan persatuan mahasiswa kecewa dengan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meneruskan usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku)

Dalam satu kenyataan bersama, mereka mempersoalkan apakah hal itu bererti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak mempercayai semangat autonomi universiti.

"Adakah KPT tidak mempercayai akan semangat autonomi universiti dan mahasiswa, dan juga kebebasan akademik yang sewajarnya diraikan bersama bertepatan terhadap usaha untuk menggalakkan keterlibatan mahasiswa dalam proses merangka dasar di peringkat universiti dan juga di peringkat kementerian?" soal mereka.

Mahasiswa berkenaan turut mempersoalkan apakah KPT mahu menghantar mesej bahawa Kesatuan Mahasiswa berautonomi yang ditubuhkan selepas pindaan Auku dipinda pada 2018, tidak lagi relevan, dan usaha tidak akan diteruskan ke arah memperkasa mahasiswa agar lebih mandiri.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meminda Auku untuk membenarkan pelajar menyertai aktiviti parti politik yang diadakan dalam kawasan kolej dan universiti mereka.

Ia merupakan langkah pertama ke arah memansuhkan Auku sepenuhnya dan menggantikannya dengan satu undang-undang baru yang lebih komprehensif pada tahun 2020.

Bagaimanapun, kerajaan PN berkata ia tidak akan meneruskan dengan rancangan berkenaan.

Mahasiswa terbabit berkata, selain Auku, ada beberapa isu lagi yang wajar diberikan penekanan khususnya ketika wabak Covid-19 antaranya kos sara hidup mahasiswa, pembelajaran dalam talian, kebolehpasaran graduan dan gaji minimum.

Mereka berharap agar Menteri KPT, Noraini Ahmad dapat kembali ke meja rundingan bersama pemegang taruh khususnya mahasiswa, bagi mencapai kata putus bersama serta mencapai satu dasar penyelesaian yang lebih baik.

Kenyataan itu ditandatangani oleh kesatuan dan persatuan mahasiswa, seperti berikut:

1. Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM).

2. Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).

3. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

4. Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM).

5. Mahasiswa DAP.

6. Mahasiswa AMANAH Nasional.

7. Kelab Mahasiswa MCA.

8. Mahasiswa Negara.

9. Young Democrats Malaysia.

10. YouthWave Malaysia.

11. Demuda Malaysia (Pertubuhan Demokrat Sosial).

12. Nadi Siswa Malaysia.

13. SISMA Sabah.

14. PKPIM Kedah.

15. Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS).

16. Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ).

17. Ikatan Pelajar Islam Pahang.

18. Kesatuan Generasi Muda Selangor (KGMS).

19. Kesatuan Pelajar Islam Terengganu (KEPITAR).

20. Persatuan Pelajar Islam Melaka (PEPIM).

21. Persatuan Pelajar Islam Wilayah Persekutuan (PPIWP).

22. Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP).

23. Persatuan Mahasiswa Islam Perlis (PERMIP).

24. Persatuan Penggerak Mahasiswa UNISEL.

25. Grup Sukarelawan Darul Ehsan (DE VOLUNTEER) UNISEL.

26. Mahasiswa Harapan UUM.

27. Kesatuan Pelajar Islam Kelantan.