Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Arahan Zahid' jadi tumpuan peguam bela bekas TPM

KES ZAHID | Perbicaraan melibatkan Ahmad Zahid Hamidi hari ini berlegar tentang apakah sebenarnya arahan bekas timbalan perdana menteri itu kepada seorang saksi yang bertindak menukar sumbangan wang tunai kepada cek-cek sebelum diserahkan kepada dia.

Pengurup wang, Omar Ali Abdullah, yang kembali sebagai saksi ke-81, disoal peguam bela Ahmad Zaidi Zainal yang mempertikaikan pernyataan saksinya yang didakwa mempunyai percanggahan.

Kali pertama dia hadir sebagai saksi adalah Isnin lalu.

Ahmad Zaidi merujuk dua perenggan dalam pernyataan saksi Omar Ali, iaitu perenggan kelima yang menyatakan Omar Ali “telah diminta oleh OKT (Ahmad Zahid) untuk menolong beliau menguruskan kemasukan wang tunai ke akaun Yayasan Akal Budi”.

Perenggan keenam pula menyatakan Ahmad Zahid juga telah meminta Omar Ali untuk “menukarkan wang tunai yang diterima kepada cek sebelum dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi”.

Ketika disoal beberapa kali disoal mengenai dua perenggan itu, Omar Ali kelihatan sangat keliru dan meminta Ahmad Zaidi beberapa kali mengulangi pernyataannya, sebelum akhirnya bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi.

Ahmad Zaidi: Arahan yang diterima daripada Datuk Zahid, saya katakan Datuk Zahid tak pernah pun meminta atau memberi arahan atau meminta bantuan Encik Omar untuk menukar tunai kepada cek sebelum dimasukkan ke dalam akaun Yayasan Akalbudi. Boleh setuju?

Omar Ali: Setuju.

Omar Ali turut bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa perbuatannya menukarkan wang tunai kepada cek sebelum dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi adalah tindakan yang diambilnya sendiri dan bukan diarahkan oleh ahli parlimen Bagan Datuk berkenaan.

Wujudkan jejak aliran wang

Dalam keterangannya Isnin lalu, Omar Ali berkata, dia menerima wang sumbangan daripada lelaki tidak dikenali dari Yayasan Al-Bukhari, seperti dimaklumkan Ahmad Zahid kepadanya.

Katanya sekitar 2014, dia diminta Ahmad Zahid untuk menukarkan wang tersebut kepada cek untuk dimasukkan ke akaun Yayasan Akalbudi, sebelum pada 2016, diminta memasukkannya ke akaun Lewis & Co. 

Jelas Omar Ali hari ini, setelah menerima wang tunai daripada “lelaki tidak dikenali” berkenaan, dia tidak pernah memasukkannya ke akaun Yayasan Akalbudi dalam bentuk tunai memandangkan bank tidak menerima wang tunai melebihi RM50,000.

Omar Ali turut bersetuju bahawa arahan Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan pengurup wang untuk merekodkan perincian urusan tukaran wang, berkaitan undang-undang di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (Amla).

Hanya dengan merekodkan urusan tersebut akan mewujudkan satu jejak wang (paper trail/money trail).

Oleh itu, cadang Ahmad Zaidi, ketika menerima wang sumbangan daripada lelaki-lelaki tak dikenali yang tidak direkodkan itu, jejak wang belum ada, dan jejak itu hanya wujud apabila Omar Ali menukarkan wang berkenaan kepada cek.

“Setuju,” jawab Omar Ali setelah beberapa kali meminta soalan itu diulang kerana tidak dapat memahaminya dengan baik.

Sebelum memulakan pemeriksaan balasnya, Ahmad Zaidi menyoal status pendidikan saksi, yang dijawab Omar Ali setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP), sebelum bertanya apakah dia pernah membaca pernyataan saksinya.

Ketika menjawab soalan itu, Omar Ali berkata dia sebenarnya “kurang boleh membaca”, dan “kena mengeja sikit-sikit”, namun menjelaskan yang dia bukan buta huruf.

Ahmad Zaidi: Apa maksud mengeja lambat (seperti) Encik Omar kata?

Omar Ali: Maksud dia saya tak faham. Tapi saya tak boleh baca laju-laju. Saya kena eja perlahan-lahan.

Ahmad Zaidi: Boleh baca, tapi ambil masa.

Omar Ali: Ya.

Dalam pernyataan saksinya sebelum ini, Omar Ali berkata, selepas Ahmad Zahid mengarahkan cek dimasukkan ke akaun Lewis & Co pada 2016, terdapat 35 transaksi cek berjumlah RM 8,975,250 kepada akaun firma guaman itu.

Bagi tunai, ambik cek

Sebanyak 19 cek adalah dari syarikat milik isterinya, Ekares Sdn Bhd, manakala 16 lagi daripada individu atau syarikat lain. Antaranya adalah saksi-saksi sebelum ini yang turut terdiri daripada kawan-kawannya.

Kebanyakan daripada mereka menyerahkan cek yang dikosongkan ruang penerima, dan dia menyerahkan wang yang diperlukan untuk sesuatu urusan kepada mereka, sebelum cek tersebut ditulis dengan nama Lewis & Co dan diserahkan kepada Ahmad Zahid.

Omar Ali mengesahkan wang yang digunakan untuk ditukarkan kepada kesemua 35 cek itu adalah wang yang diberikan oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali berkenaan kepadanya.

Ahmad Zaidi: Saya buat kesimpulan, Datuk Zahid tak pernah pada bila-bila masa, minta atau arahkan Encik Omar mencari peminjam duit, (orang) yang hendak membuat tukaran duit, dan (kemudiannya) menukarkan (wang itu) kepada cek. Itu bukan arahan Datuk Zahid. Boleh setuju?

Omar Ali: Setuju.

Susulan itu, pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi turut meminta penjelasan Omar Ali tentang apakah sebenarnya arahan daripada Ahmad Zahid yang diberikan, seperti diterangkan dalam perenggan enam pernyataan saksinya.

“Arahan (Ahmad Zahid), saya terima duit tunai, dan saya buat cek untuk Yayasan Akalbudi,” jawabnya.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bagaimana cara wang tunai itu harus ditukarkan kepada cek, jadi dia memilih untuk menukarkan wang itu dengan cek daripada kenalannya untuk diserahkan kepada Lewis & Co.

“Saya tak ada cek sebanyak itu, saya tak boleh dapatkan cek (sebanyak itu). Jadi saya minta dengan kawan-kawan yang nak pakai wang tunai. Saya bagi wang tunai, saya ambil cek. Itu memang idea saya, pasal saya yang minta cek, untuk dimasukkan ke Yayasan Akalbudi,” katanya.

Ahmad Sazilee: Kalau tak buat ikut idea itu, inisiatif itu, adakah boleh dapat cek dari wang tunai yang ada?

Omar Ali: Tak boleh dapat.

Omar Ali turut menyatakan dia tidak ada bertanya kepada Ahmad Zahid kenapa cek-cek tersebut tidak diminta dimasukkan terus ke akaun yayasan, sebaliknya ke akaun Lewis & Co - sejak sekitar 2016.

Ahmad Sazilee: Jelaskan kenapa buat cek kepada Lewis & Co?

Omar Ali: Itu Datuk Seri yang arahkan.

Sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan konsisten mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, sebuah badan diasaskan oleh Ahmad Zahid, dan dia juga menjadi pemegang amanah dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah itu bersambung esok.