Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Najib dihukum penjara 12 tahun, denda RM210 juta

Bekas perdana menteri, Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun bagi tujuh pertuduhan jenayah dalam kes membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Bagi satu kes salah guna kuasa, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagi tiga kes pecah amanah, hakim menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap kesalahan.

Bagi tiga kesalahan pengubahan wang haram pula, anggota parlimen Pekan itu dihukum penjara 10 tahun bagi setiap kesalahan.

Semua hukuman penjara akan berjalan serentak, menjadikan tempoh hukuman penjara sebenar adalah 12 tahun.

Sekiranya gagal membayar denda RM210 juta - yang merupakan lima kali ganjaran RM42 juta yang diterima oleh Najib - maka beliau akan dipenjara lima tahun lagi.

Susulan itu, pihak pembelaan berhasil mengajukan permohonan penangguhan hukuman penjara dan denda sementara menunggu proses rayuan.

Najib kelihatan tenang sejurus mendengar hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Semasa mengemukakan rayuan, salah seorang peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, memberitahu tertuduh tidak dapat membayar denda yang ditetapkan kerana sudah diarah mahkamah lain membayar RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Peguam itu juga merujuk kepada Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan yang didakwanya pasti akan menyusul selepas ini.

Pada kebiasaannya, mahkamah tidak membenarkan penangguhan hukuman denda, tidak seperti hukuman penjara yang boleh diketepikan jika rayuan berjaya.

Peguam bela Mohd Shafee Abdullah menyatakan bahawa denda itu merupakan jumlah yang sangat besar dan anak guamnya tidak dapat menyelesaikannya.

Ketua pendakwa raya V Sithambaram, bagaimanapun, berpendapat bahwa hakim sebaliknya dapat meminta sebagian denda itu dibayar atau setidaknya dibayar secara ansuran.

Akhirnya, Hakim Nazlan mengatakan pihak pembelaan telah membuktikan "situasi khas" untuk hukuman penjara dan denda berkenaan.