Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis ingatkan penyokong Najib patuh SOP Covid-19

Polis mengingatkan orang ramai yang berkumpul di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy Chinniah berkata ini kerana polis tidak mahu dilihat sebagai menimbulkan provokasi apabila terpaksa mengambil tindakan drastik terhadap pihak yang melanggar SOP berkenaan.

"Kita tak mahu ambil tindakan drastik kerana kita tak mahu dilihat sebagai pencetus provokasi sebab itu kita amalkan beri nasihat tetapi tegas," katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah.

Menurutnya, pada awalnya orang ramai tidak mengendahkan nasihat itu, namun mula mendengar nasihat polis setelah diingatkan berulang kali.

Sejumlah mereka hadir untuk memberi sokongan kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang hadir mendengar keputusan perbicaraan SRC International melibatkan dana RM42 juta.

"Kita nasihatkan jaga SOP ini, walaupun selepas Najib keluar dari mahkamah. Kita tak mahu kluster baharu di sini," katanya.

Ketika ditanya sama ada polis akan mendakwa individu tertentu, Shanmugamoorthy mengatakan polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang enggan mendengar nasihat dan menimbulkan kekacauan.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia A Sivarajan mempersoalkan sama ada polis telah meluluskan perhimpunan penyokong Najib.

"Sebelum ini, polis begitu cekap menangkap dan mendenda mereka yang gagal memberi notis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Tetapi adakah penganjur perhimpunan hari ini melakukan hal yang sama?

"Jika ada permohonan, tidak masuk akal bagi polis untuk menyetujui (perhimpunan) setelah menyaksikan apa yang terjadi di luar kompleks.

"Jelas mereka tidak mengikuti SOP seperti jarak sosial dan merakam suhu badan," kata Sivarajan.

Dianggarkan sekitar 3,000 penyokong dilaporkan hadir di kompleks mahkamah itu hari ini.

Mahkamah mendapati Najib bersalah atas semua tujuh pertuduhan yang berkaitan dengan kes SRC itu.