Ibadah korban: 15 masjid terpilih guna sangkar sembelih mudah alih
Sebanyak 15 masjid terpilih di beberapa negeri akan menggunakan sangkar penyembelihan mudah alih bagi menyempurnakan ibadah korban yang bermula Jumaat ini.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Ahmad Amzad Hashim berkata sangkar penyembelihan yang dibangunkan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) itu diperkenalkan bagi memudahkan pihak pengurusan masjid mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik Covid-19.
Beliau berkata penularan Covid-19 ketika ini menjadikan ia satu keperluan dalam usaha memperluaskan inovasi yang dibangunkan pada 2016, satu aspek pembaharuan dalam penyembelihan lembu.
“Ketika ini, 10 masjid di Wilayah Persekutuan akan menggunakan sangkar ini, selebihnya akan digunakan di beberapa negeri termasuk Johor, Terengganu dan Negeri Sembilan.
“Sudah tentu sebagai sebuah kementerian yang menggalakkan inovasi, kita boleh membuat penambahbaikan sistem ini dan mengundang minat pelbagai pihak…apabila kita mula guna pakai pada ibadah korban tahun ini, insya-Allah akan mendapat sambutan yang baik di seluruh negeri,” katanya selepas majlis penyerahan Sangkar Penyembelihan Mudah Alih di Masjid Wilayah Persekutuan, di Kuala Lumpur hari ini.
Ahmad Amzad berkata sangkar yang diperbuat daripada besi keluli itu boleh menggantikan teknik tradisional penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu kepada teknik yang lebih mudah dan terurus serta dapat mengamalkan penjarakan sosial dan meminimumkan tenaga kerja kepada tiga orang sahaja.
“Untuk memperkenalkan inovasi yang merubah cara biasa penyembelihan bukan satu perkara yang mudah disebabkan kebanyakan penyembelih sudah terbiasa dengan cara lama. Bila timbul pandemik Covid-19 ini, terdapat keperluan bagaimana mencari kaedah terbaik dan dalam masa yang sama kita (rakyat Malaysia) mematuhi SOP yang ditetapkan (oleh kerajaan),” katanya.
Terdahulu, satu sesi taklimat dan cara penggunaan sangkar turut diadakan kepada wakil masjid terpilih.
Penggunaan sangkar mudah alih bernilai RM25,000 sebuah itu dapat meminimumkan tenaga kerja pelaksanaan ibadah korban dalam kebiasaan baru dan seterusnya membolehkan petugas mematuhi SOP ditetapkan.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai